18.9.07

Surau di mana? (bahagian akhir)
Sejam sebelum majlis berbuka puasa itu bermula, aku dengan krew berangkat dengan menaiki jip. Hati mulai gusar kerana kami terpaksa menempuh jalan yang sesak di tengah ibu kota Malaysia. Aku tidak habis-habis berzikir bagi menenangkan hati yang tidak tenang. Khuatir akan terlepas program itu. Kalau sudah terlepas, apa yang hendak aku ambil gambar nanti. Takkan hendak mengambil gambar orang sedang makan je. Em! memang tidak tragis langsung atau orang sekarang kata, 'tak happening!'
Aku membatu dan membisu. Sunyi sepi dalam kereta itu. Selalunya aku peramah tak bertempat. Tapi bila bulan ramadan ini, malas pula hendak bersuara. Pak Cik driver cukup sabar mengharungi laluan sesak bagaikan laluan siput babi di jalanraya itu. Terhenjut-henjut. Tersemput-semput. Asyik menekan brek saja. Rasanya naik beca mungkin sudah sampai ke destinasi. Nasib baiklah, khidmat beca di Kuala Lumpur sudah dimansuhkan, kalau tidak, teringin juga naik beca. Teringat zaman kanak-kanak. Aduh! Merepek pula aku ni di bulan yang mulia. Resah mula menguasai diri. Akhirnya aku bersuara, "Pak Cik, rasanya sempat tak kita sampai ke hotel itu. Saya bimbang tak sempat nak ambil gambar nanti."
"Sempat kot!" jawapan pendek dan ringkas dari pak cik driver
Aku hanya menggangguk kepala dan sedikit merasa lega. Harap-harap sempatlah sampai. Akhirnya, sampai juga. Lagi 10 minit ke pukul 7 malam. Waktu berbuka puasa pada hari itu lambat sedikit iaitu 7.30 malam. Pak Cik Driver meletakkan keretanya di tempat yang dikhaskan. Dengan itu tiada masalah hendak mencari parkir kereta. Penyambut tetamu hotel itu sedia memberi kerjasama kepada pihak media elektronik seperti kami. Itulah keistimewaan yang kami dapat apabila memakai logo media elektronik yang terlama di Malaysia.


Aku dan krew pun bergegas masuk ke dalam hotel itu dan tanpa bersusah payah, dewan yang dicari berada di hadapan mata. Kami pun masuk dan kelihatan meja bulat yang disediakan sudah mulai penuh. Anak-anak yatim sudah sedia duduk di meja masing-masing. Sementara. meja untuk media sudah disediakan. Aku dan krew dan juga pak cik driver, semuanya lima orang. Muatlah untuk satu meja..(hehehe kami menguasai meja itu! Nak buat macam mana, rombongan Cik Dah ramai). Nasibku baik kerana majlis belum bermula.

Tidak lama kemudian, seorang wanita yang selalu muncul di tv bagi mewakili syarikat korporatnya bertindak selaku m.c. atau pengacara majlis itu. Panjang jugalah kata pembukaan yang menghuraikan tujuan dan matlamat (samalah tu) majlis itu diadakan. Aku meminta abang kamera merakam semuanya yang berlaku. Sekiranya rasa tidak bagus, aku potong je (hahaha itulah dia kuasa seorang penolong penerbit yang bertindak sebagai penerbit lokasi) dan kalau tak cukup, aku tambahlah dengan elemen lain. Mungkin lepas itu aku melakukan temu duga dengan orang penting syarikat itu dan juga beberapa orang anak yatim yang hadir. Itu rancangan terakhir. Tetapi, apabila aku melihat atur cara seterusnya, rasa macam tidak ada semangat hendak meneruskan. Program itu terlalu biasa tiada yang menarik dan itulah yang akan dilakukan oleh kebanyakan pihak korporat yang lain apabila menganjurkan majlis berbuka puasa.
Sementara menanti waktu berbuka puasa, acara selanjutnya memberi hadiah kepada anak-anak yatim. Satu demi satu dipanggil dan memberi hadiah yang tersembunyi dalam beg kertas. Apa isinya pun aku tidak tahu dan memang tidak mahu tahu pun. Seterusnya, adalah persembahan nyanyian. Pada masa itu, masa ada kumpulan nasyid lagi. Tidak macam hari ini, kumpulan nasyid laku di musim Ramadan. Terutamanya di majlis berbuka puasa. Maka bermulalah persembahan nyanyian, dan yang paling kelakar, puasa baru je seminggu adakah dinyanyikan lagu raya. Emm! Mengurut dada aku dibuatnya dan abang kamera memandangku, aku pun kata, "Ambillah sikit bang! Buat gambar insert nanti!"
Adakah patut dibulan mulia ini, lagu seperti itu dikemundangkan. Buat dosa kering je pada saat hendak berbuka puasa. Di saat hendak beri pahala kerana menjamu anak yatim, tiba-tiba terencat agaknya, Allah hendak berikan rahmat-Nya. Entahlah! Itu pandangan ku yang masih cetek mengenai ilmu agama Islam. Dalam fikiranku pula, di manakah aku hendak sembahyang Maghrib nanti? Nanti sebentar lagi aku tanya dengan adik-adik pelayan yang asyik berlegar di meja yang panjang menyediakan makanan. Nampaknya, hari itu berbuka secara bufet. Siapa cepat dia dapat. Leceh betullah cara bufet ini. Hendak kena beratur panjang. Lebih-lebih lagi, waktu berbuka puasa hampir hendak masuk, makanan belum diambil lagi. Mana boleh melambatkan berbuka puasa. Tetapi di atas meja kami sudah tersedia buah kurma dan air skyjuice (air putih yang sejuk...hehehe)
Tiba-tiba satu pengumuman dibuat setelah nyanyian selesai. "Kini masuklah waktu berbuka puasa bagi Wilayah Persekutuan dan kawasan sewaktunya." Aku hendak tergelak kerana sama pula skripnya dalam radio. Kemudiannya, dipasangkan azan dan berkemundanglah azan itu di dewan yang dihias dengan serba indah. Sebaik sahaja azan, mereka yang hadir bertaburan dan bekerjaran ke meja bufet termasuklah aku dan krew.
MasyaAllah! Aku tengok, macam-macam ada. Mana satu yang hendak dimakan. Tapi yang penting, aku mesti cari nasi dahulu. Itu makanan ruji aku, mana boleh ditinggalkan. Dengan rasa sabar beratur sambil mata ini menjeling-jeiling makanan yang dihidangkan. Begitu juga dengan abang-abang krew pun seperti aku beratur sambil memegang pinggan kosong. Rasanya macam budak sekolah pula kena beratur panjang hendak membeli makanan di kantin. Hendak buat macam mana, kenalah beratur tetapi anak-anak yatim itu tidak beratur, kerana makanan mereka sudah dihidangkan di atas meja masing-masing. Apa salahnya, meja kami turut dihidangkan, tidaklah kami terkejar-kejar mencari makanan. Apa mereka ingat, kami ini tidak berpuasakah? Sudah rugi satu scene kerana, saya tidak suruh abang kamera ambil gambar orang makan kerana diapun hendak makan dan perlu beratur seperti kami. Kalau makanan sudah terhidang di meja, tidaklah perlu kami bersusah payah beratur. Masa sudah terbuang dengan beratur. Ah! Aku tidak peduli, lepas makan aku perlu bergegas mencari surau.
Makanan yang aku ambil setelah beratur panjang, adalah sedikit nasi, sayur, ayam masak apa pun aku tak tahu, campur sedikit desert puding. Makanan yang dihidangkan tidak membangkit selera dan perut yang minta diisi. Aku pun menuju ke meja kembali dan kelihatan abang-abang sedang makan. Mereka lebih cekap mengambil makanan daripadaku. Di meja itu sudah disediakan sudu dan garpu. Aku pun mulalah makan. Kelatang-kelentung bunyi garfu. Seorang abang krew baru dapat mengambil makanan dan berkata, "Kat sini mana hendak basuh tangan yeh!" Aku hanya menggeleng dan berkata, "Kenapa bang?" Abang krew berkata, "Abang hendak basuh tangan dan makan nasi dengan tangan. Kita orang Melayu, mesti makan dengan tangan dan lagipun sedap dan selera makan dengan tangan."
Alahai abang ini betul-betul Melayu. Tidak boleh bawa ke majlis, rungut aku dalam hati. Kalau ikutkan hati, aku pun hendak makan dengan tangan. Leceh betul guna garfu dan sudu ini. Silap hari bulan, terpelanting lauk ayam yang hendak dimakan kerana hendak memotongnya satu masalah. Akhirnya, abang krew memanggil adik pelayan meminta semangkuk air basuh tangan. Aku melihat wajah adik pelayan itu berkerut. Agaknyalah, dalam hatinya berkata, "ada juga orang macam ni?" Tetapi tidak lama kemudiannya, adik pelayan itu kembali dengan semangkuk besar air basuh tangan. Aku melihat wajah abang tu berseri-seri macam kena pinang pula. Dia pun makan dengan selera dan menghabiskan selonggok besar nasi dan lauk-pauknya yang membukit.
Aku segera menghabiskan makanan dan melihat jam ditanganku. Ya Allah! Sudah pukul 8. Ini belum lagi sembahyang Maghrib. Aku lihat masih ramai yang leka makan di meja masing-masing. Mulalah berfikir, mereka ini tidak sensitif atau kisah hendak sembahyang. Hatiku mula tidak sedap. Aku bersuara dengan seorang abang krew yang duduk di sebelahku. "Abang! Saya nak sembahyang dulu. Agaknya surau di mana?"
"Senang je! Keluar pintu itu dan pergi sebelah kanan dan terus naik tangga ke tingkat satu. Hotel ini memang ada surau."
Lega rasanya aku mendengar penerangan abang krew itu. Agaknya abang itu memang pernah ke sini sebelum ini. Aku bangun dan abang-abang krew yang lain juga bangun. Kami sama-sama menuju ke surau. Setiba di surau, tidak ramai yang bersembahyang di situ. Akupun segera mengambil wudhu dan memakai telekung yang disediakan di situ. Selesai solat dan berdoa pendek, aku bergegas ke dewan semula. Lagu-lagu raya masih berkemundang. Apakah mereka ini tidak berhenti solat? Anak-anak yatim itu yang sudah remaja, mereka ini tidak sembahyangkah? Apatah lagi dengan penganjur program, macam tiada apa yang berlaku. Entahlah! Apa hendak jadi dengan mereka? Tidak baik aku bersangka buruk mungkin mereka sudah solat. Tidak lama kemudian, aku pun mengajak krew balik. Malas hendak tunggu seterusnya. Niat hendak temu duga anak-anak yatim dan pihak terbabit, tidak dilakukan. Tahulah nanti aku mengedit program itu nanti. Mungkin program itu tidak sampai pun seminit. Semoga penerbitku tidak berleter.

No comments: