26.8.07

Mengapa ghairah menulis buku dalam bahasa asing?

Menghadiri sesi perbincangan dalam bahasa asing tetapi berada di negeri sendiri dan yang paling dikesali orang yang bercakap bahasa asing itu adalah orang tempatan. Sungguh aku tidak berkenan meskipun bukannya aku tidak faham mereka bercakap. Lebih dikesali, kebanyakan yang hadir dalam program perbincangan itu bukanlah terdiri dari orang-orang asing. Akhirnya diri ini merasa seperti bukan berada di negara sendiri.

Pengalaman menjadi wartawan yang sering berjumpa dalam keadaan terpaksa dengan orang-orang lain, terpaksalah juga menggunakan bahasa asing terutamanya bila berjumpa dengan orang asing. Tetapi bila menemubual dengan orang tempatan, semungkin boleh bahasa ibunda akan digunakan. Alasan kukuh kerana kita ini berada di negara sendiri, mengapakah kita hendak sibuk-sibuk mengagungkan bahasa asing. Sebagai seorang Islam, sepatutnya dari mengagungkan bahasa asing bukannya digunakan di seluruh dunia, lebih baik kita banggakan bahasa Arab. Bahasa al-Quran yang sepatutnya orang Islam menguasainya (tetapi aku masih belum mampu menguasainya apatah lagi hendak memahaminya..itulah kelemahanku)

Begitu juga dengan penulisan buku, timbul di dalam benak fikiranku, kenapakah kita masih lagi sibuk hendak menulis dalam bahasa asing sedangkan masyarakat sendiri budaya membaca mereka masih lagi lemah. Bagiku, sekiranya aku hendak membaca buku dalam bahasa asing, lebih baik aku membeli buku yang benar-benar ditulis oleh orang luar dari negara kita. Aku sendiri merasa hairan, mengapakah kita sibuk-sibuk hendak mengatakan yang buku kita tidak laku, masyarakat tidak ada respon, sukar dipasarkan dan sebagainya. Tetapi bagku, apa yang penting, bahasa adalah penting dalam menyampaikan ilmu. Dalam negara yang bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu, mengapakah kita sibuk hendak tulis dalam bahasa lain? Lainlah, sekiranya kita ini penulis yang popular sehingga disanjung seluruh dunia atau mendapat anugerah novel peringkat dunia.

Namun begitu, malangnya kita ini adalah penulis kecil dalam sebuah negara yang kecil. Sedangkan bangsa kita sendiri bercakap bahasa ibunda pun tergagap-gagap, inikan pula kita sibuk hendak menghasilkan tulisan dalam bahasa asing. Entahlah, mungkin aku ini macam merapu-rapu. Tetapi, hatiku terasa amat kesal dengan sikap segelintir ahli jual buku di gedung-gedung besar begitu mengagungkan buku asing. Dan tidak sedarkah mereka bahawa yang mampu membeli buku asing yang harganya amat tinggi dari buku tempatan adalah golongan orang berada. Aku yang suka membeli buku ini akan berfikir sepuluh kali untuk membayar buku asing yang dikatakan ada kelas. Lebih baik aku beli buku bahasa ibunda atau bahasa nusantara sekiranya maklumat yang terkandung di dalamnya adalah sama dengan buku asing itu.

Kita lihatlah negara-negara seperti yang terdekat Indonesia, Thailand, Jepun, China dan lain-lain, adakah penulis mereka begitu ghairah hendak menulis dalam bahasa asing yang dikatakan bahasa global itu? Sedangkan karya mereka yang berasal dari bahasa ibunda sudah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa lain. Mereka tidaklah sibuk-sibuk seperti penulis Malaysia yang ghairah hendak tulis dalam bahasa asing itu. Tetapi mengapakah orang asing pula berbangga dengan karya mereka dan mereka membaca karya luar yang sudah diterjemahkan. Entahlah, persoalan yang aku lontarkan ini mungkin sehingga hari Kiamat belum pasti ada jawapannya, hanya Allah yang maha mengetahui.

2 comments:

de_kerinchi said...

Salam saridahhamid,

Saya juga dari dahulu tidak faham masyarakat kita lebih senang bertutur dalam bahasa asing dalam majlis yang berwajah Malaysia...

Kadang-kadang di Tv semasa wartawan interview dalam BM ada bangsa asing yang rela bertutur dalam bahasa kebangsaan walau pun tidak fasih..berlainan dengan bangsa melayu sendiri yang memilih bertutur dalam Bahasa asing,
konon nya nak tunjuk standard..walaupun kadang-kadang bahasa asing nya pun nampak kelam kabut..

saridahamid said...

Salam juga untuk de_kerinchi,

Memang pelik sekiranya orang Melayu bercakap bahasa asing meskipun sesama Melayu. Kononnya itu satu imej peribadi yang ada kelas. Entahlah, ukuran manakah yang dipakai? Semakin tidak merdeka fikiran kita hari ini.