12.11.07


Alhamdulillah!

Tiada ucapan yang mampu diungkapkan, hanya "Alhamdulillah" apabila satu berita gembira disampaikan oleh seorang rakan. (Terima kasih Puan Nurul). Buku saya, "Bahtera Nabi Nuh dan kisah-kisah lain", dikhabarkan sudah tiada lagi di dalam stor PTS, di Batu Caves. Itulah berita paling gembira dalam minggu ini.

Saya teringat diperingkat awal kelahiran buku pertama dan kedua. Buku saya itu dianggap biasa-biasa dan memang tiada luar biasa. Tapi baru-baru ini, sepupu sebelah suami yang saya jumpa di kampung semasa raya, memuji buku pertama saya. Itulah keseronokan raya saya yang amat bermakna kerana ada orang lain yang begitu ambil berat tentang buku saya. Saudara sendiri pula tu. Alhamdulillah! Tiada apa yang boleh saya katakan. Terubat juga hati yang terluka sedikit masa dahulu akibat pandangan sepi dari seorang kawan seuniversiti dulu. Tak mengapa, luka lama saya sudah sembuh dengan kata-kata perangsang dari orang terdekat.

Berita gembira itu kini saya jadikan sebagai penaik semangat bagi diri ini yang semakin kurang rangsangan untuk meneruskan penulisan dan menghabiskan sisa-sisa tulisan yang tertangguh sekian lama. Maklumlah saya juga manusia biasa. Insan biasa yang ada kalanya pasang dan surut dari segi stamina dan emosi. Tidak mahu mengharapkan orang lain yang merangsang semangat saya, sekadar cukuplah dengan mengadu kepada Allah dan juga suami tercinta. Suami yang tidak putus-putus memberi kata perangsang. Kejayaan saya adalah atas sokongan beliau. Terima kasih suamiku yang kini sedang sibuk berkursus.

Kini, saya berusaha untuk menghabiskan kerja-kerja tertangguh. Insya Allah hujung minggu ini niat hati hendak menghadiri sebuah seminar anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Sudah lama tidak ke program atau seminar sejak meninggalkan dunia kewartawanan. Rindu pula rasanya untuk mendengar, mencatat dan meneliti kertas kerja yang bakal dianjurkan itu. Jangan saya terlelap sudah. Maklumlah usia semakin meningkat dan tahap tepu duduk lama kini ada hadnya. Saya perlu sentiasa menambah pengalaman dan ilmu yang perlu diperbaharui selalu.

Sebagai penulis seperti saya yang bukan sahaja tumpukan kepada penulisan fiksyen dan non fiksyen, perlu mengisi ilmu sepanjang masa. Itulah syarat utama dalam penulisan. Kalau harapkan otak ini berfikir tanpa isi, susah juga. Tapi tidak tahulah kalau orang lain, tapi bagi saya semakin kerap kita ceduk ilmu dari orang lain, semakin terasa diri ini memang serba kekurangan. Manakala pengalaman pula perlu dicari. Bukannya pengalaman itu datang dengan sendiri. Pengalaman hidup mengajar kita akan erti kehidupan di dunia ini. Insya Allah, sekiranya tiada halangan, saya akan siarkan sedikit mengenai seminar itu nanti.

2 comments:

UDA said...

Semoga Kak Idah terus bersemangat. Umur bukan penghalang untuk terus belajar dan belajar.... :)

saridahamid said...

Uda,

Betul tu. Selagi nyawa masih berdenyut, menuntut ilmu usah terbantut. Teruskan pencarian ilmu meskipun usia semakin meningkat. Menuntut ilmu sepanjang hayat.