28.10.08

Ulasan Surah-surah Rindu dari blog novelpts


Judul: Surah-surah Rindu

Penulis: Saridah Hamid

Cetakan Pertama: 2008ISBN: 978-983-3604-19-7

Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd

Harga: Sem: RM24.00 Sem. Malaysia, RM27.00 Sabah & Sarawak

Tebal: 432 halaman

Pengulas: Mohd Roslan Md Isa


Surah-surah Rindu tulisan penulis tempatan Saridah Hamid mengangkat dan mempersembahkan alihan konsep kekeluargaan, persahabatan, akademik, cinta, perjuangan, intelektual, survival hidup, dan hukum hakam agama Islam. Penceritaan cerita dengan plot yang mengikut kronologi masa, tempat, emosi, konflik dan persoalan pelajar di institusi pengajian tinggi disusun kemas dan senang dibaca. Nilai tambah adalah apabila diselitkan terjemahan ayat Quran dan Hadis yang disampaikan bagi menerangkan situasi, menguatkan fakta dan bukan kerana tujuan mengarah serta menunjuk pandai.


Novel Islami


Novel yang dikenali sebagai novel Islami ini dipakej sebagai I-Novela. Bagi remaja yang mahu mengetahui konsep cinta dan perjuangan emosi remaja yang sebenar perlu mendapatkan rujukan yang tepat dan serasi dengan jiwa remaja mereka. Justeru itu, novel ini membawa sinar harapan beserta kilauan bintang terpilih yang mampu dijadikan medium perantaraan supaya remaja memahami aspek cinta dan jiwa remaja yang sebenar.


Watak Utama


Nurin Hannah, semasa kecil dirinya dilimpahi kasih sayang daripada ibu dan ayahnya. Meskipun dia sering dianggap berbeza daripada adik-beradiknya, tetapi dia tetap bahagia bersama ahli keluarganya. Dia diberi pendidikan sempurna dunia dan akhirat serta hidup sebagai muslimah sejati.


Fathi Nur Hakim adalah abang sulung Nurin yang berkulit sawo matang manakala lain pula bagi Nurin kerana si sunti itu berkulit putih dan memiliki sepasang mata yang sedikit sepet. Pelbagai kisah suka duka dikongsi mereka semasa kecil. Hubungan adik beradik ini rapat dan adakalanya apabila mereka mula meningkat awal remaja, Nurin akan memberontak apabila abangnya hanya bermain dengan rakan lelaki sahaja dan di ditinggalkan sendirian. Namun Nurin sering mengatasi abangnya seperti bermain gasing sehingga berpusing kepala abangnya memikirkan perangai adiknya yang agak bersifat lelaki.


Konflik dalaman Hannah mula memberontak apabila seorang demi seorang adiknya dilahirkan oleh ibunya memiliki kulit badan yang berbza daripanya. Namun segala persoalan itu dijawab kemas dan secara rahsia oleh ayah dan ibunya.


Semasa menuntut di universiti, hatinya diketuk seorang jejaka yang terkenal di fakultinya. Ibunya sering berpesan memintanya supaya tidak menjalinkan cinta semasa sedang belajar. Dia akur dengan ingatan itu. Akhirnya, dia menerima salam persahabatan daripada jejaka itu selepas melakukan solat istikharah. Persahabatan itu dirahsiakan daripada warga kampus dan juga keluarga. Hanya sahabat karibnya, Liyana yang mengetahuinya.


Percintaan di kampus antara Hannah dan temannya terjalin baik dan mereka cuba mengelakkan perkara yang mendatangkan fitnah dan sering berjumpa apabila tugasan projek persatuan ataupun kelas dalam kumpulan yang besar. Elemen teknologi juga diterangkan bagi memggambarkan novel ini lain dan memang lari laju daripada novel tradisi yang lain. Teknik menjalinkan hubungan cinta yang murni dijelaskan melalui emel, sms dan Yahoo Messenger.Namun, dilema gadis kacukan ini bermula apabila mengetahui hakikat sebenar identiti dirinya apabila usianya meningkat remaja. Dalam usaha mengenal peribadi diri dan keluarga. Hannah dikejutkan dengan berita yang dia secara tidak sengaja terjumpa surat yang sudah usang dan dapat mendedahkan peribadi Hannah. Apakah kandungan surat itu dan bagaimana dia mendepani situasi itu?


Kekuatan Novel


Nurin Hannah adalah sebahagian daripada kes kecil yang jarang didedahkan media dan diterokai penulis lain. Penulis ini berjaya mencipta karektor Nurin Hannah yang cekal, tabah, ceria dan unik. Gabungan ayat Quran dan Hadis yang diterangkan jelas dapat membantu masyarakat memahami hukum hakam Islam, antara yang dikupas adalah saranan Islam kepada wanita bagi memakai tudung dan disampelkan kepada watak Nurin Hannah. Lokasi bagi jalan cerita juga merakyatkan novel ini bagi membawa pembaca mengenali tempat-tempat bersejarah.

klik: blog novelpts

Posted by Peminat at 7:46 PM

27.10.08


Surah-surah Rindu (Dwilogi)mempunyai dua siri


Sebenarnya tidak ada niat untuk membuat novel ini bersiri (hanya dua siri sahaja). Editor PTS Millennia menelefon menyatakan bahawa novel sulung itu tidak lengkap ceritanya. Memang diakui, cerita itu penyudahnya sudah tentu tidak menyeronokkan. Sengaja ditulis sebegitu supaya pembaca tertanya-tanya.


Setelah dibelek dan dikoreksi, ingin disambung cerita itu dan perkara ini pernah utarakan kepada editor (sebelum novel itu diterbitkan lagi). Dan saya sudah berikan sinopsisnya. Pada mulanya, beliau tidak setuju kerana ingin melihat novel pertama saya keluar dahulu tetapi tidak lama kemudian dia memberitahu yang saya perlu menyambung cerita itu kerana tergantung. Saya berbesar hati.


Kini dalam proses menyiapkan manuskripnya. Terasa semput sekali. Jalan cerita memang sudah ada tetapi ingin mengolahnya itu yang menyesakkan dada ini. Sesungguhnya, bukan semudah itu untuk menyiapkan bait-bait indah dalam novel. Ingin membuat para pembaca suspen pun amat payah. Em! Inilah ujian seorang penulis. Kalau boleh saya ingin menghadirkan hati dan perasaan ini dalam penulisan. Bukan sekadar melepas batuk di tangga.


Ya Allah! Berikanlah daku inspirasi dan ilham untuk menulis dengan lebih baik lagi. Berikanlah daku semangat untuk terus berkarya. Jauhkan segala rasa bosan yang kadang kala melanda diri ini. Dan yang paling ditakutu adalah hilang idea dan motivasi. Lapangkan dada ini supaya sentiasa berusaha untuk terus menggerakkan jari jemari ini untuk terus mengetuk huruf-huruf di keyboard ini. Amin!

20.10.08


Watak- watak dalam Siri Young Aisyah



Watak utama dalam siri ini sudah tentulah seorang budak perempuan. Nama penuhnya Aisyah Sofiah atau lebih gemar dipanggil Aisyah sahaja. Fitrah seorang budak yang masih bersifat keanakan yang dunianya penuh dengan keriangan, ingin belajar, sering melakukan kesalahan, rasa ingin tahu sesuatu yang baru, menjalin hubungan dengan kawan, dan sebagainya adalah antara sifat semula jadi seorang budak.





Mungkin kita pernah bertingkah laku seperti itu. Zaman kanak-kanak yang penuh dengan keceriaan dan keseronokan. Itulah yang hendak ditonjolkan dalam siri Aisyah disamping ingin diserapkan nilai-nilai murni dan islamik secara tidak langsung. Pengajaran yang hendak dipaparkan kepada kanak-kanak secara spontan, tidak mengajar tetapi mengajak melakukan kebaikan secara tidak langsung. Sifat seorang anak bukan suka di suruh-suruh tetapi hendaklah diberi teladan yang baik.







Selain watak Aisyah, watak yang tidak kurang berperanan penting seperti Puan Aminah (umi), Encik Jamil (bapa), Nenek Saloma, Azirah (kakak) dan watak pendamping sebagai kawan, seperti Amira, Abu Yela, Ali Mamak dan juga watak binatang kesayangan-kucing.






Lukisan ini dilakar oleh Saudara Jonos. Beliaulah yang membina imej tersebut setelah melakukan banyak kajian. Semoga menjadi ikon kepada kanak-kanak. Untuk melihat lakaran yang lain sila klik

14.10.08


14 Oktober Hari Jadi Bonda


Selamat hari jadi bonda yang ke 69, anakanda doakan bonda sentiasa sihat walafiat di samping mengerjakan amalan ibadah seharian. Semoga bonda dicucuri rahmat Allah dan diberi kemudahan untuk menjalani kehidupan harian dengan amalan ibadah.


Jasa bonda tetap anakanda dan adik beradik kenang. Membesarkan dalam kepayahan seorang diri anak yang seramai lapan orang. Alhamdulillah semua anak-anak bonda sihat dan selamat mendirikan rumahtangga masing-masing. Menantu lapan orang campur dengan bilangan cucu yang telah meningkat seramai 25 orang. Jika umur panjang, bonda berkesempatan menerima kehadiran cicit pula, bila agaknya?


Moga bonda tabah meniti usia emas. Alhamdulillah bonda setakat ini sihat cumanya biasalah sakit orang tua, sengal-sengal dan sakit sendi terutama pada lutut. Anakanda sentiasa mendoakan kesejahteraan bonda di dunia dan akhirat.

13.10.08

Nostalgia Idul Fitri 2008



i.
Tahun ini persiapan raya tidak seperti tahun lalu. Memang berbeza dan malang sekali kuih raya yang selalu aku buat sendiri tahun ini tidak ada kesempatan untuk menyediakan. Bukan kerana harga minyak naik dan kemudian turun beberapa sen saja. Bukan sudah lupa bahan-bahan hendak buat kuih. Bukan itu. Tetapi sesuatu yang menghalang dan tumpuan aku sekarang ini sepenuhnya kepadanya. Namun dalam kesemputan itu, alhamdulillah aku masih berkemampuan menghasilkan manuskrip.




Akibatnya, sudahlah tak sempat buat kuih, hendak beli kuih lagilah tidak terdaya. Kerana kuih yang dijual di kedai-kedai atau pasaraya, harganya mahal sekali. Balang kecil sahaja hampir 20 ringgit. Lebih baik aku beli tepung, gula, telur dengan harga itu dan buat kuih sendiri. Lagi jimat. Namun apakan daya, kudrat yang semakin lemah ini tidak mampu membuat semua itu. Atas nasihat suami tersayang, janganlah sibukkan diri buat itu buat ini, nanti penyakit lain pula timbul.



Kesannya, hanya aku sempat membeli rempeyek, muruku, kacang, kerepek ubi dan jenis-jenis kuih bergoreng. Harganya bolehlah tahan dan nampak banyak pula tu. Kuih tahunan yang selalu aku buat seperti tart nenas, mazola, semperit hanya tinggal kenangan. Melepaskan gian makan kuih itu di rumah saudara mara saja. Jadilah! Tapi aku sempat juga memasak rendang, nasi himpit, kuah kacang dan sayur sambal goreng (jawa punya) pada petang raya. Habis pada raya ke dua.





ii.




Raya tahun in memang sungguh mencabar terutama dari segi cuaca. Mencabar juga aku sekeluarga adalah orang yang paling lambat sampai ke rumah emak. Tahun lalu aku orang pertama tahun ini aku yang tercorot. Nasib baiklah emak memahami, dan abang-abang, kakak dan adik turut memahami keterlambatan aku itu. Memalukan saja. Tapi tersengih-sengih kepenatan.


Kebiasaannya, selepas lepak rumah emak beberapa jam, kami adik beradik akan berkonvoi berkunjung ke rumah sanak saudara di sekitar Kampung Baru, Gombak dan Sungai Buluh, tapi tahun ini terbalik pula. Hanya lepak rumah emak sahaja memandangkan emak pun tidak berdaya hendak ikut kami beraya lagi. Maklumlah umur emak semakin emas dan anak dan cucunya pula ada yang sudah hampir pencen dan juga hendak kahwin(cucunya je). Jadi aku dan yang lain duduk di rumah emak tungguh tetamu datang.



Kebiasaannya, raya kedua aku ikut suami balik kampungnya di Melaka. Tapi tahun ini pelik sikit. Adik ipar aku ada rancangannya sendiri. Mengajak kami bercuti. Mula-mula terdetik, betul ke adik ipar aku ini? Macam hendak banyak hati yang lara saja? Mula-mula terasa malas pula tapi setelah sehari suntuk beraya di Melaka, mungkin inilah masa aku bersantai di pantai sekian lama memerap di rumah dan menghadap komputer riba tanpa batasan waktu. Okey juga cadangannya. Emak mentua aku pun tidak berapa sihat, mungkin boleh ubah angin. Dan akhirnya aku dengan ipar duai dan ibu mentuaku bersantai di Port Dickson di Tanjung Tuan milik syarikat adik ipar. Bayar murah saja.




Rupa-rupanya, cuti begini ramai yang datang ke PD termasuklah aku dan keluargaku. He he he. Tak pernah dibuat orang. Kalau saudara mara tahu ini memang kena bambu! Orang beraya, kami semua bersantai pula di pantai.
Tinggal di Tanjung Tuan ini membangkitkan nostalgia aku semasa berkhidmat di RTM. Tempat ini adalah menjadi tempat penginapan aku dan krew sekiranya aku ada tugasan di negeri ini. Boleh dikatakan kerap juga ke sini sampai sudah jemu. Tapi kehadiran aku pada hari raya ini, mengingatkan aku tentang tempat ini yang dahulunya cantik tapi kini seperti tidak terjaga dari segi penyelenggaraan biliknya. Mungkin disebabkan apartment di sini sudah dijual kepada syarikat lain. Seperti syarikat adik ipar ini, syarikatnya membeli 5 unit kondominium untuk kakitangannya bersantai. Masa sudah berubah!



iii.


Dalam kepenatan baru balik dari pantai dan kampung, hadirlah dua insan yang pernah aku tulis sebelum ini. Datin Hamidah Hamzah dan suaminya, Datuk Ramlan. Alahai terasa malu pula kerana peti ais aku kosong belum beli bahan-bahan basah dan kering. Yang ada hanyalah kerepek seperti yang aku ceritakan sebelum ini. Memandangkan mereka sudah sampai, aku terima dengan hati besar. Bangga sekali dengan kehadiran mereka di teratak kecil aku ini. Hanya menghidangkan air teh o dan kerepek-kerepek aku itu.

Dan pasangan pengantin baru itu menghulurkan kad jemputan rumah terbuka mereka yang akan diadakan pada hujung minggu ini. Inilah pertama kali aku terima jemputan formal rumah terbuka. Selalunya, jemputan mulut sahaja dari sahabat dan saudara mara.

Ada orang tanya, tidak buat rumah terbukakah? Entahlah, terasa malas pula. Suami pula suruh buat, aku belum bagi jawapan lagi. Sebabnya, yang hendak masak nanti, akulah. Dan aku jenis tidak suka order-order keluar duit, membazir. Baik masak sendiri. Nantilah aku fikirkannya!















9.10.08


Perihal Surah-surah Rindu


i.


Kiranya belum terlambat untuk mengutuskan Salam Aidil Fitri kepada semua yang sudi berkunjung ke sini. Dalam kesibukan harian, ada beberapa perkara yang hendak ditulis tetapi tidak ada kesempatan waktu. Namun, memandangkan semua dalam blog ini bukan berita terkini, maka peristiwa yang lalu boleh juga dicatatkan.


Dalam minggu ke dua berpuasa, aku menerima kiriman 10 naskhah novel Surah-surah Rindu. Di samping dititipkan sekeping kad raya kiriman dari PTS Milinnea dan juga PTS Islamika. Terima kasih kepada editor, Siti Nor Fadilah yang memenuhi permintaanku untuk menghantar novel itu secara pos kerana aku tidak berkesempatan untuk mengambilnya di pejabat PTS editorial atas sebab-sebab tertentu.


Perasaan ketika menerimanya adalah berlainan kerana inilah novel sulung ku yang sering membuatkan hati berdebar-debar menunggu kemunculannya. Kini, Surah-surah Rindu sudah berada di pasaran. Carilah di MPH bookstore, Popular, Kinokuniya dan kedai buku yang mengedar buku-buku terbitan PTS.


ii.


Setelah berada di pasaran, kini aku berdebar-debar pula menerima reaksi dari para pembaca. Namun aku bersedia untuk menerima sebarang kritikan, cadangan, komentar, dan sebagainya. Maklumlah, genre kreatif ini sesuatu yang berseni dan ada nilai sastera. Bagi individu yang ulat novel, sudah tentu dapat membezakan antara satu sama lain. Yang pastinya, sebagai penulis, sudah tentu tidak dapat memenuhi citarasa ke semua pembaca.


Aku ingin praktikkan ilmu komunikasi dan penulisan yang dimiliki selama ini dalam genre kreatif pula. Semoga kehadiran aku dalam dunia sastera diterima.


Niat aku menulis dalam bentuk genre adalah ingin menyampaikan sesuatu kepada para pembaca. Selama ini niat itu hanya terpendam sekian lama. Tapi, sesungguhnya untuk menghasilkan satu manuskrip yang penuh bukanlah semudah yang disangka. Bukan senang dan juga bukan susah untuk menghasilkannya. Apa yang penting, perlu ada semangat, kesungguhan, pengalaman, ilmu penulisan, bacaan meluas, kajian dan semua itu bila digarapkan ia akan menghasilkan satu manuskrip seperti yang dikehendaki.


Sebenarnya, aku mensasarkan manuskrip itu siap dalam masa dua bulan. Tetapi akhirnya tersasar juga hingga empat bulan. Kerana aku bukan sahaja menumpukan kepada penulisan novel tetapi beberapa manuskrip lain juga aku ingin siapkan. Terpengaruh dengan KJ Method yang diperkenalkan oleh sifu PTS, Puan Ainon Mohd. Apatah lagi, aku juga melakukan kerja-kerja freelance sebagai editor buku. Kekangan itulah yang melambatkan untuk menyiapkan manuskrip novel sulung.


Alhamdulillah, akhirnya terbit juga novel itu. Untuk menghasilkannya perlu juga disisipkan perasaan menulisnya. Bagi memulakan rasa mood menulis novel cinta Islam sesuatu yang payah. Maklumlah, zaman bercinta aku semasa remajaj sudah berlalu, maka untuk membangkitkan kembali perasaan itu, aku banyak mendengar lagu-lagu cinta (maaflah ye..lebih kepada lagu cinta kepada Tuhan tapi ada juga cinta sesama manusia...he he he) dan kebetulan memang aku ini suka kepada lagu yang sentimental dan romantis. Itu membina jiwa yang lembut. Mungkin pelik orang mendengarnya. Begitu juga aku banyak membaca novel cinta Islami dan novel yang lain.


Bukan mudah untuk membina ayat yang menyentuh perasaan.(Adakah orang membaca akan tersentuh hatinya, tapi bagi aku memang ada, kerana aku sendiri mudah tersentuh dan ada kalanya menangis bila ayat yang ditulis oleh penulis itu betul-betul menyentuh perasaan. Itu jika sipembaca membacanya dengan hati yang hadir. Tapi kalau baca sekali lalu, memang tiada perasaan langsung!) Entahlah, bagi aku memang susah. Setiap ayat perlu dipastikan lembut dan mudah difaham. Apatah lagi isu yang aku bawa dalam novel ini adalah berat dan jarang disentuh oleh pengarang lain. Aku terasa tercabar juga maklumlah aku ini bukannya seorang yang berilmu agama. Namun begitu, banyak juga buku agama yang menjadi rujukanku. Sesetengah pandangan mengatakan bahawa, novel Islami hanya layak ditulis oleh mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan agama.


Entahlah, aku ini bukan kelulusan agama tetapi aku berminat untuk sampaikan apa yang aku tahu dari apa yang aku belajar. Salahkah? Adakah menyampaikan ilmu Islam itu hanya layak untuk orang yang ada pendidikan agama? Tapi bagaimana dengan pesanan Nabi Muhammad S.A.W yang menyatakan, "sampaikan dari ku walau satu ayat pun."


Atas kefahaman itulah aku ingin sampaikan kepada para pembaca, harap-harap semua pihak menerimanya.