5.6.08

Bila semuanya naik!

Dikatakan pada mulanya minyak akan naik pada bulan Ogos. Tapi, sebelum itu, memang ada ramalan yang mengatakan minyak naik pada Ahad lalu pada kadar 40 sen. Namun dinafikan oleh orang nombor dua negara. Senyap sebentar. Suara sumbang pula berkata, minyak akan naik pada Ogos. Pengguna sudah mula berdebar. Dalam kotak fikiran masing-masing sudah membayangkan bajet yang semakin tinggal sedikit malah mungkin zero tanpa nombor.

Petang semalam, membaca berita terkini dalam Malaysiakini, sungguh terkejut. Rasa-rasanya, kalau siapa ada sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, kalau tidak terkawal, mahunya tumbang atau pitam sebentar. Minyak petrol naik lebih dari 100%. Ingatkan bersen atau 10 sen tapi 78 sen. Itu belum lagi diesel. Seandainya minyak petrol boleh digantikan dengan air sungai ke, air laut ke, alangkah nikmatnya.

Kini, tiada yang turun. Semuanya naik! Beras naik, gula naik, tepung naik, minyak masak naik, telur ayam naik, ikan naik, sayur naik, ayam naik, roti canai naik, teh tarik naik, teh o pun naik. Macam-macam naik! Malahan elektrik juga akan naik. Apa usaha kita hendak berjimat. Nak tanam sayuran di hadapan rumah, tanah sekakang kera. Duduk rumah ala burung merpati...di mana nak tanam sayur. Nampaknya, bagi umat Islam, banyakkanlah berpuasa. Buka puasa makan ala kadar je!

Hari ini sebaik sahaja langkah keluar dari rumah, semuanya berbayar. Malahan ke tandas awam mesti sediakan 20 sen atau 30 sen. Apatah lagi naik kenderaan awam. Semuanya berduit. Bagi yang berkeluarga besar tapi bergaji kecil, kesian sekali. Bagi pekerja yang gajinya memang tak naik sepanjang bekerja, bukankah akan sakit jiwa. Harga makanan di luar semakin tinggi. Kalau tidak berharga RM4 ke atas, alamak makan nasi dengan kuah je (itupun harganya lebih dari RM1).

Entahlah! Tunggu sajalah, semuanya pasti naik tak ada yang hendak turun.

No comments: