14.1.08


Adakah kita semakin tak selamat?


Bermulanya hari-hari di awal tahun Islam mahu pun Masihi, kita dikejutkan dengan beberapa peristiwa yang menggugah perasaan. Kehilangan anak-anak kecil yang hanya bermain di taman permainan sungguh memeranjatkan. Seolah-olah kanak-kanak tidak bebas lagi untuk bermain di luar. Teringat semasa zaman kecil-kecil. Sudahlah taman permainan belum lagi wujud tapi kanak-kanak masa itu bebas bermain, berlari-lari, melompat-lompat dan boleh bermain sepanjang masa. Tapi hari ini, hendak keluar rumah pun takut. Bukan sahaja kanak-kanak, orang tua pun rasa gerun hendak berjalan seorang diri.


Jika dulu, kanak-kanak ditakutkan dengan unsur-unsur mistik. Jangan pergi ke padang, nanti jumpa hantu kum kum! Pergilah main kat sana, nanti jumpa pocong baru tau! Degil tak nak dengar cakap emak, biar hantu galah hempap dia! Itulah antara dialog larangan dari emak kita. Tapi, tidak peduli dengan larangan itu, tetap bermain dan selamat pula tiada gangguan dari makhluk asing!


Tapi hari ini, nak pergi berlenggang ke padang pun tidak selamat. Sekarang ini, kita bukan takut dengan hantu tetapi takut dengan manusia spesis yang senyap tapi ganas, yang berupa baik tapi sadis, yang kononnya pemurah tapi pembelit, yang zahir nampak alim tapi masya Allah lebih jahat dari syaitan, yang bijaksana tapi tong kosong, yang bijak berkata-kata tapi malas bekerja, dan pelbagai spesis lagi sehinggakan tak tersenarai.


Keselamatan orang dewasa pula kini terancam. Silap sikit, nyawa melayang. Nyawa dan maruah boleh hilang dan boleh berlaku di mana sahaja. Malah dalam rumah sendiri pun tidak selamat. Yang kena rompak kemudian dirogol, yang kena ragut kemudian terhantuk di batu pun mati, yang berdendam terus ditembak mati, yang rempit terus dihimpit atau dihempoknya kita, yang baik tengah tunggu bas, diculik, yang hendak bunuh diri pun ada sesama sendiri; mat motor berlaga dengan geng mat motor sendiri. Dan macam-macam yang pelik berlaku dan akan berlaku.


Kembalilah kita kepada yang Satu. Minta perlindungan dari Allah yang Masa Berkuasa. Hanya kepadanya kita bertawakal! Tapi jangan pula sudah terhantuk baru hendak terngadah! Sudah terkena baru hendak insaf. Sedangkan iman itu tiang agama. Jadi perkukuhkan tiang agama sebelum mereput atau rapuh!

2 comments:

dianz said...

saya pernah baca, tanda2 akhir zaman adalah lenyapnya rasa aman. nampaknya semakin jelas saja ya, dunia akan segera berakhir.
mudah2an kita menjadi terbaik di hari akhir...

saridahamid said...

Sdr. Dianz,

Memang itu salah satu petanda hari Kiamat. Sebenarnya sudah banyak tanda-tanda itu lahir satu demi satu. Hendaklah sentiasa kita berpegang dengan Islam.