5.1.08

Sentiasa Berazam

Bila bertemu dengan tahun baru Masihi, setiap orang yang mengenali diri kita bertanya dengan soalan yang lazim, "Apa azam baru?" Kadang-kadang terkedu juga lidah hendak menjawab. Sebabnya, memang tak ada azam setiap awal tahun. Tetapi azam itu sentiasa tersemat di dalam hati setiap saat.

Mula-mula hendak jadi individu yang taat beribadah dan mengamalkan ajaran Islam. Patuh kepada yang diwajibkan dan hindar daripada yang dlarang oleh Tuan kita, Allah yang Maha Penyayang lagi Mengasihi. Sentiasa berazam hendak tambah ilmu dan ibadah. Melakukan banyak sedekah dari segi senyuman (petua awet muda tapi biar bertempat kalau senyum), ilmu, wang, tenaga dan sebagainya. Tidak kedekut sama ada ilmu, wang, pertolongan, pinjam barang atau apa sahaja. Hendak sampaikan ilmu melalui yang termampu, kalau boleh hendak terus menulis dan menulis yang bermanfaat (ya Allah! kabulkanlah cita-citaku ini), berbakti pada suami, keluarga dan masyarakat. Dan banyak lagi...pokoknya azam itu tetap tersemat selagi hayat dikandung badan!

Hendak jadi isteri yang solehah. Taat dan patuh kepada suami. Setia dan percaya pada suami. Berkongsi suka dan duka dengan suami. Dan segala-galanya dengan suami. Tiada rahsia antara kami. Itu dikatakan sehati sejiwa. Doakan untuk kebaikan diri, suami dan keluarga.

Hendak jadi anak yang baik taat pada ibu dan ibu mentua. Menghormati dan menyayangi mereka sepenuh hati. Menerima ilmu yang diberi sebagai panduan. Belajar dari pengalaman mereka yang lebih makan garam dari kita.

Hendak menjadi adik dan kakak yang baik kepada adik beradik kandung, ipar duai, biras dan saudara mara jauh dan dekat. Menjalin hubungan silaturrahim yang mesra dan ikhlas. Hubungan tetap terjalin walau dalam apa keadaan sekalipun.

Hendak menjadi pekerja yang bekerja dalam penuh tanggungjawab. Melaksanakan amanah yang diberi dengan baik dan bersungguh-sungguh. Menjadi pekerja yang sukses, ceria, cekap, kreatif, berdaya saing. Tidak curi tulang atau mengambil kesempatan atas kebaikan majikan kita yang telah memberi kepercayaan kepada diri ini. Mampu berdikari dan menghadapi cabaran!

Hendak menjadi ahli masyarakat yang menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Sekurang-kurangnya bersikap mesra tidak sombong atau angkuh, bersikap ringan tulang dalam kenduri kendara, mudah mesra, peramah, dan sebagainya setakat yang termampu.

Antara yang terakhir, ingin menulis buku sebanyak-banyak yang mampu. Ya Allah! Berikanlah daku kekuatan, semangat jitu dan kejayaan ini . Serta permudahkanlah. Amin!

2 comments:

mohamad kholid said...

ini bukan azam - nampak macam piagam pelanggan je. huaa ha ha

saridahamid said...

Sdr. Mohamadkholid,

Itulah dia piagam seumur hidup saya, hahahaha!