15.3.08

Reda dan pasrah dengan ujian yang melanda

Sudah sebulan lebih tidak mencoretkan apa-apa di blog yang biasa-biasa ini. Atas kesibukan kerja-kerja di tempat baru, diikuti peristiwa yang memberi keinsafan pada diri ini. Syukur kepada Allah kerana memberikan ruang bagi diri ini untuk menyiapkan dua manuskrip novel. Satu novel untuk dewasa dan satu lagi novel untuk kanak-kanak. Yang untuk kanak-kanak hanya mengambil masa dalam 4 hari sahaja untuk menyiapkannya dan dijangkakan akan diterbitkan sempena Pesta Buku Antarabangsa di PWTC nanti. Tidak tahulah bagaimana penerimaan khususnya golongan kanak-kanak atau remaja awal. Semoga mereka dapat menerimanya dengan baik.

Tapi, ikhlas aku hendak nyatakan, bahawa aku rasa terpanggil untuk menulis novel kanak-kanak atas dorongan ketua baru aku. Kiranya, kini aku sudah menerima pinangan untuk menulis dengan penerbitan lain. Itu adalah hak aku sebagai penulis bebas yang tidak terikat dengan sesiapa. Tapi, aku masih tetapi menulis untuk kekasihku yang pertama. Masih ada beberapa projek yang masih dalam proses.

Aku tidak mahu jadi seperti sesetengah penulis yang suka merahsiakan indentiti sebenar apabila menghantar manuskrip kepada penerbit lain dengan menggunakan nama lain bagi menutup penerbit asal tidak tahu yang dia berkahwin dengan penerbit lain. Akibatnya nanti, siapa yang keliru. Pembaca dan pembeli. Oleh itu, aku tetap menggunakan nama sendiri. Nama yang diberikan oleh kedua ibu bapa ku. Ada berkatnya menggunakan nama sendiri yang tulin. Buku-buku yang diterbitkan oleh PTS, semuanya berhasil. Aku amat bersyukur, meskipun pada peringkat awal, buku-buku aku dikatakan biasa-biasa saja. Orang tidak pandang sebelah mata. Tapi, dengan kuasa Allah (itu aku amat yakin), buku-buku itu mendapat perhatian negara jiran.

Keterlibatan aku dalam dunia penulisan ini sudah menjangkau hampir 18 tahun. Satu jangkamasa yang aku sendiri tidak sedari. Pelbagai genre yang aku telah terokai. Pelbagai kerjaya yang berkaitan dengan penulisan telah aku redahi. Kini, masanya aku ingin mengabadikan ilmu yang sedikit untuk disampaikan kepada masyarakat sebagai bekalan aku di alam Akhirat. Maka, bukulah medium aku kini. Aku ingin hasilkan seberapa banyak yang termampu, selagi jari ini boleh mengetuk laptop (second hand) ini. Maaflah mungkin aku sudah melalut. Maklumlah sudah lama jari jemari tidak mengetuk lembut huruf-huruf laptop yang banyak berjasa kepada aku.

Sebaik sahaja selesai menyiapkan manuskrip itu dan terasa lega yang tidak terkata. Meskipun ada projek yang perlu aku selesaikan tapi tarikh luputnya masih jauh. Kiranya aku ingin merehatkan minda dan menumpukan kerja-kerja di tempat baru yang menuntut aku uruskan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

Musibah dan ujian

Suatu tengahari, sedang aku menikmati hidangan tengahari bersama kawan-kawan baru, suamiku telefon yang dia terlibat dalam kemalangan. Tetapi, suami kata jangan bimbang dia tidak apa-apa. Aku pun hairan. Kemalangan tapi tiada apa-apa yang berlaku. Aku tidak sedap hati, selepas Zuhur aku telefon balik, apa yang sebenarnya berlaku? Suami kata, dia kemalangan dan keretanya terbalik sebanyak tiga kali. Aku terpinga-pinga. Macam mana tu? Suamikku kata, alhamdulillah tak ada apa-apa yang serius. Kalau tidak, aku sudah jadi janda, kata suamiku dengan gurauannya. Dan, kata suami ku lagi, dia berlanggar dengan seorang anak pertama datuk yang berkahwin dengan artis yang muda dan glamor nombor satu di Malaysia ini. Lagilah aku terperanjat! Kecilnya dunia ini!

Tanpa berlengah lagi, aku balik cepat hari itu. Setibanya di rumah, suamiku sudah balik. Dia terbaring di katil dan aku lihat memang suami tiada apa-apa. Alhamdulillah! Sungguh menakjubkan. Sungguh ajaib! Itu semua kuasa Allah. Sekiranya ajal belum sampai, malaikat maut tidak akan mencabutnya. Itu yang aku insaf! Jika Allah kata jadi maka jadilah! Suamiku kata, semua orang ingat suamiku sudah mati berdasarkan kepada keadaan keretanya yang terbalik. Dan anak datuk itu pucat sebab dia ingat suamiku sudah tidak bernafas. Tetapi suamiku keluar dengan mudah dan tersenyum. Mungkin sedikit pucat.

Keesokannya aku pun minta cuti bagi menemankan suamiku, bimbang jika badannya sakit dan mungkin retak tulang.Kebetulan doktor yang memeriksa suami ku kenal dengan datuk itu kerana mereka berjiran. Katanya, memang tiga anak datuk itu tidak menjadi orang. Tidak berguna. Suka menyusahkan orang lain. Suamiku tersenyum sahaja. Doktor itu berasa pelik kerana suami tidak mengalami sebarang kecederaan yang parah kecuali luka kecil seperti luka budak jatuh ke tanah. Alhamdulillah! Tidak habis ucap syukur ku kerana suamiku tiada apa-apa.

Hospital yang tidak pakar!

Hari berikutnya, aku pun bercadang hendak kerja semula. Kerana ambil cuti hanya sehari. Tapi, sebaik sahaja selesai mandi, aku terkejut melihat mukaku yang merah dan bengkak. Mataku bengkak. Ya Allah! Kenapa jadi macam ini? Adakah aku salah pakai sabun, atau salah makan? Selesai solat Subuh, aku tunggu suami ku balik dari surau. Segeralah aku mengajak ke hospital HUKM yang dikatakan hospital pakar segala pakar.

Kerana terlalu awal pagi, maka kami pergi ke unit kecemasan. Ada pula dua jenis kecemasan, kecemasan kritikal dan kecemasan tidak kritikal. Kiranya kes aku ini belum lagi kritikal kerana aku masih boleh berjalan, senyum dan bercakap. Lainlah jika aku sudah nazak dan tidak bersuara, sudah tentu aku dimasukkan dalam kritikal. Maka dengan rasa yang tidak larat berjalan, muka yang sembam dan bengkak, dengan badan yang mula panas tak tentu hala, dengan batuk yang tidak terkawal sehingga boleh terkucil, dengan tekak yang sakit semuanya aku kawal dan duduk dikerusi sambil diinterview oleh penolong perubatan. "Akak sakit apa?" Adakah dia tidak nampak muka aku yang merah dan bengkak. Tapi aku bersuara juga, "Ini ah...muka bengkak dengan tiba-tiba!" Dia pun tulis sesuatu di borang. "Oklah akak pergi ke bilik itu dulu."

Aku pun dengan terhoyong -hayang (ketika itu, suami ku sedang memarkirkan keretanya, agak jauh dari unit tidak kritikal itu) pergi ke bilik itu. "Oh akak ini demam sikit." Maka nurse itu pun bagilah makan panadol. "Akak sakit apa yeh?" Manalah aku tahu sakit apa? Dalam otak aku ini ingatkan kena denggi, sebab seluruh badan aku ditumbuhi bintik-bintik. Dengan rasa ramah aku pun berkata, "Agaknya akak ini kena demam denggi kot. Sebab kat rumah ramai yang sudah kena denggi." Dalam hatiku, kecut juga! Denggi! Kalau betul denggi, aku kena tahan lebih seminggu kat hospital! itu yang aku tak nak! Nurse itupun mengambil darah ku. Aduh! Memang benar kot aku kena denggi!

Selepas itu, aku diarahkan mendaftar! (Baru nak daftar?) Entahlah pelik juga cara HUKM ni berurusan. Selepas bayar RM30.00 (Nasib baik ada duit. Maklumlah pagi-pagi buta..). Selepas daftar diarah tunggu di tempat menunggu. Tidak ramai orang ketika itu. tunggu punya tunggu...perutku lapar dan dahaga. Suamiku keluar pergi beli air mineral dan dua biji karipap yang berharga RM1. Mahalnya! Selepas sebiji karipap habis dikunyah, tunggu punya tunggu, nombor masih tak panggil lagi. Suamiku sudah berang kerana mendengar aku mengeluh tidak tahan duduk lama di kerusi. Dia pun pergi jumpa di kaunter unit tidak kritikal itu. Mereka kata, doktor belum datang lagi! Mulalah aku membebel! Kalau macam ini, lebih baik aku pergi klinik 24 jam. Lagipun, tak payahlah wujudkan unit tak kritikal ini. Memang tak kritikal, sampai doktor pun rasa tidak kritikal nak periksa aku yang sudah mula menggigil, badan sakit-sakit, dan tak tahan nak duduk lama-lama.

Setelah sejam menunggu barulah nombor giliran aku naik. Masuklah ke dalam bilik yang tidak kritikal itu. "Puan punya darah ok...tak ada tanda denggi." Lega aku mendengarnya! "Tapi, nampaknya akak kena bagi contoh urine." Alah, ini yang aku malas! Nak periksa air kencing pula! Nasib baiklah ada air kencing, sebabnya, aku tak terasa macam nak buang air kecil. Kerana aku baru minum seteguk air mineral. Keputusan air kencing juga normal tiada tercemar dan penyakit. Alhamdulillah! Tapi, aku hairan kenapalah doktor ini tak perasan kat muka aku yang sudah berubah rupa!

"Ini muka akak bengkak. Tangan akak ini sudah keluar bintik-bintik. Kenapa agaknya?"
"Susah nak cakap. Mungkin akak ini alahan tak?"

Aku pun pelik. Adakah doktor yang dikatakan pakar boleh agak-agak. dia tanya aku balik. manalah aku tahu! Aku ini Editor dan Penulis...bukannya doktor pakar. Kalau nak ikutkan alahan kalu aku kena pun bukannya serius. Ala sekadar gatal-gatal tekak bila makan ketam tu adalah. Tapi taklah seteruk sampai muka bengkak dan badan berbintik. Oleh kerana doktor itu semacam takut nak tengok bintik-bintik dia pun suruhlah aku buat temujanji dengan unit alahan pula. Doktor yang sekejap berbahasa Melayu (sebab dia orang Melayu) , sekejap berbahasa Inggeris, dia kata, dia sendiri tak pasti apa penyakit aku. Pelikkan tapi benar! Maka dia berilah aku ubat sapu dan pil. Itupun hanya sekali sehari untuk digunakan. Ubat demam, selsema dan batuk langsung tak ada. Sedangkan aku sudah minta terutamanya ubat batuk, kerana batuk aku teruk sekali. Dan aku dapat mc dua hari.

Malam itu aku tidak boleh tidur. Badan semakin panas. Batuk semakin teruk. Kepalaku juga mulai pening. Esoknya, aku tidak puas hati, aku ajak suamiku pergi ke klinik yang selalu aku dan suamiku pergi. Sebaik sahaja aku dan suami masuk ke dalam bilik rawatan, nurse yang melihat wajahku hampir menjerit. "Kakak ini kena demam campak!" Aku dan suami terperanjat! Ah! Demam campak! Kenapa semalam doktor yang pakar tu, tidak dapat memastikan penyakit aku, sedangkan nurse klinik biasa boleh mengenalinya dalam sekelip mata. Pelik tapi benar. Memang sah aku dijangkiti demam campak. Tiada ubat sembuhkannya kerana dia boleh sembuh sendiri. Doktor hanya bagi ubat batuk, selesema, antibiotik, ubat sapu dan demam. Kata doktor, itu normal. Biarkan campak itu keluar semua dan ia akan pulih nanti.

Aku reda dengan ujian itu. Mungkin diriku ini banyak dosa-dosa yang lalu dan kini dan tanpa disedari. Kawan-kawan berilmu kata, itu dikira kafarah. Ada yang kata, Allah suruh aku rehat kerana asyik menulis saja dan buat kerja freelance. Baguslah begitu. Aku pasrah! Bukannya tidak pernah kena demam campak masa kecil. Tapi, kata doktor, dalam zaman moden ini, tidak mustahil kita boleh terkena penyakit berjangkit itu. Aku dikenakan kuanrantin di rumah sendiri. Alhamdulillah! suami sudi bercuti lama untuk merawat aku yang semakin lemah. Beza kena campak di usia tua dengan usia bayi tidak sama. Rasa terseksanya ketika usia tua ini adalah lebih azab. Adakalanya aku tidak tahan sehingga aku menangis seperti budak kecil. Suamiku ingatkan aku, tentang Nabi Ayub yang derita sakit. Suamiku suruh bersabar dan bertahan. Dia tahu aku kuat semangat. Tapi, ketika itu aku tidak bersemangat! Aku akur! Aku beristighfar! Lemahlah imanku! Lemahnya semangatku! Aku manusia biasa yang lemah!

Selera makan tak ada. Kekuatan fizikalku lumpuh! Aku tidak berdaya nak berdiri lama. Badanku susut. Berat badanku hilang 7 kilo. Aku hanya bergantung pada air putih sahaja. Tiada sebiji nasi yang masuk. Apa tah lagi aku kena berpantang makan supaya tidak bentan. Asyik terbaring dan tidur. Dan ada masanya aku tidak boleh tidur. Badan panas, gatal, bisa, kebas semuanya menjadi satu.

Baiklah setakat ini ceritanya akan bersambung lagi....jari jemari sudah tidak betah hendak menaip...mungkin esok... insya-Allah!

3 comments:

Smartphone said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum warahmatullah,

Saridah - Moga Allah beri kesihatan sepenuhnya..

Rehat-rehat secukupnya..

Jika berkesempatan, kita jumpa di PWTC, Insya Allah, ya?

Wasalam..

saridahamid said...

Wualaikumussalam, warahmatullah,

Prof. Umi,

Insya-Allah kita jumpa nanti di pesta buku. Tentu meriah dengan kehadiran prof.