18.3.10

Meriahkan Pesta Buku dengan Membudayakan Ilmu


Marilah beramai-ramai untuk memeriahkan lagi pesta buku yang hanya diadakan sekali dalam setahun peringat nasional. Meskipun ada juga usaha pesta buku diadakan disetiap negeri di Malaysia ini, namun tidak sehebat Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan selama 10 hari tanpa henti. Pesta ini adalah tempat berkumpul para penerbit buku dan juga para penulis. Gerai-gerai yang ada mesti mempamirkan buku yang terbaru dan sudah tentu ada potongan harga yang menarik.


Dan alhamdulillah tahun ini, novel aku turut terpamer di gerai PTS nanti. Novel bersiri Young Aisyah yang sudah ada 7 siri akan turut memeriahkan booth PTS yang terletak di seberang sungai. Bagi memeriahkan lagi suasana pesta buku, bagi peminat siri Young Aisyah, akan diadakan kuiz serta sesi beramah mesra dengan penulis dan pelukis siri Young Aisyah. Oleh itu, aku akan berada di sana pada 20 Mac (Sabtu) dari jam 12.00 tenghari sehingga 2.00 petang.


Siri Young Aisyah yang terdiri dari, Pindah Rumah, Buli, Juara Kampung Badak Berendam, Sayang Cikgu, Ponteng Puasa, Cuti Sekolah dan Summer Camp menanti para peminatnya di gerai nanti.


Budayakan Ilmu


Membaca buku menambah ilmu. Itu tidak dapat dinafikan. Banyak membaca, menambah ilmu di dada. Hobi aku sejak zaman bujang lagi adalah suka membaca. Kadang-kadang, majalah lama milik keluarga berulang kali dibaca, kerana ketika itu tiada wang untuk membeli majalah atau buku sendiri. Jadi, apa sahaja bahan bacaan yang ada di hadapan mata, itulah menjadi santapan bacaanku. Tetapi, kini budak-budak zaman sekarang beruntung. Mereka punya kuasa wang kerana ibu bapa mereka punya wang yang banyak. Jadi tidak hairanlah mereka mudah membeli bahan bacaan. Ini terbukti apabila aku sendiri melihat mereka mengeluarkan duit untuk membeli buku di pesta buku yang lalu. Sungguh beruntung mereka. Dan aku berharap budaya ini akan berterusan. Sekurang-kurangnya penulis yang semakin bertambah ini tidak sia-sia penulisan mereka apabila ada sudi yang membeli dan membacanya.


Tanggungjawab penulis pula adalah berat. Bukan sekadar mengharapkan buku laku, tetapi ilmu yang hendak disampaikan kepada para pembaca hendaklah benar dan bermanfaat. Bukan sekadar hiburan picisan yang murahan tetapi ilmu ikhlas yang mendidik jiwa dan pekerti. Penulis beramanah untuk menyampaikan kebenaran ilmu kerana ia adalah bekalan amalan kita di akhirat nanti. Ini sekadar mengingatkan diri aku yang mana aku menulis bukan untuk mencipta nama di persada tetapi untuk menyampaikan ilmu yang sedikit kepada yang memerlukannya. Semoga Allah menerima amalanku ini, amin!