19.6.08


Ku Petik Cinta Itu


Ku petik cinta itu
ku semat dalam hati kosong
ku raih cinta itu
dengan rasa rindu dendam


Selama cinta bersemi dalam hati
hati semakin resah gundah gulana
galau cinta di tolak
bak burung pungguk rindukan bulan


Kini cinta tidak kesampaian
Ku petik cinta sekali lagi
ku semai di halaman cinta sepi
cinta berpadu hati terlara


Layakkah daku bercinta dengan hati rapuh?
Terimalah cintaku ini seadanya
Moga Kau sambut cintaku ini.

12.6.08

Selama ini pun memang berjimat!

Ada seorang sahabat marah-marah. Terperanjat juga apa yagn dimarahkannya. Rupanya marah kerana harga minyak naik. Walaupun dia tiada terlibat dengan penggunaan minyak petrol mahupun diesel sebab dia langsung tiada kenderaan hatta basikal buruk tetapi dia tetap hendak meluahkan kemarahannya. Nasib baik, telinga yang mendengar ini tebal dan juga peka bukan pekak. Yang mendengar ini juga sudah meluap-luap juga tekanan darahnya! Nasib baiklah tekanan darah yang hendak meninggi masih di tahap sempadan, kalau tidak terus tergolong dalam kumpulan penyakit darah tinggi.

Sahabat itu berkata dengan kata-kata pedasnya, banyak kena potong ayatnya. Antaranya, memang selama ini kita berjimat! Gaji tak naik sudah lama dah berjimat tapi kini depa suruh kita jimat lagi, apa yang hendak dijimatnya. Yang miskin sudah tentu berjimat tapi bila harga barang bertambah naik dan tak turun-turun walau sesen, apa yang hendak dijimatkan. Nak kami ini makan pasir ke? Nak suruh kami duduk dalam bergelap pada waktu malam? Kalau kawasan rumah ini banyak pokok, ada sungai yang bersih, angin bertiup sepoi dengan nyaman, malam tidur tak berkipas pun tak pa. Ini rumah siang malam panas berdenting, apa ke halnya? Marah sungguh dia!

Cakap apa yang tak naik bila harga minyak naik? Dah lama tak baca paper sebab tak mampu nak beli. Daripada beli paper baik beli nasi lemak ke, duit ke..boleh bagi anak-anak makan Memanglah makan di rumah itu jimat, tapi kalau barang dah naik, jimat apa namanya. Takkan nak kurangkan makan nasi, kurang makan sayur, kurang makan ikan...dah lah selama ini kurang berzat dalam badan, tambah disuruhnya berjimat, bertambah kurang zat dalam badan. Kesian budak-budak yagn baru yagn membesar, terbantut pula tumberasan meraka sebab bapanya yang kini punya duit semakin kecil. Nak bekerja lebih waktu, nanti penyakit lain pula datang..letih, ngantuk, kurang kasih sayang, kurang amalan ibadah, sebab tertumpu nak cari duit lebih.

Banyaaklah lagi bebelan sahabat tu, tak larat je nak tulis...layaan......!

5.6.08

Bila semuanya naik!

Dikatakan pada mulanya minyak akan naik pada bulan Ogos. Tapi, sebelum itu, memang ada ramalan yang mengatakan minyak naik pada Ahad lalu pada kadar 40 sen. Namun dinafikan oleh orang nombor dua negara. Senyap sebentar. Suara sumbang pula berkata, minyak akan naik pada Ogos. Pengguna sudah mula berdebar. Dalam kotak fikiran masing-masing sudah membayangkan bajet yang semakin tinggal sedikit malah mungkin zero tanpa nombor.

Petang semalam, membaca berita terkini dalam Malaysiakini, sungguh terkejut. Rasa-rasanya, kalau siapa ada sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, kalau tidak terkawal, mahunya tumbang atau pitam sebentar. Minyak petrol naik lebih dari 100%. Ingatkan bersen atau 10 sen tapi 78 sen. Itu belum lagi diesel. Seandainya minyak petrol boleh digantikan dengan air sungai ke, air laut ke, alangkah nikmatnya.

Kini, tiada yang turun. Semuanya naik! Beras naik, gula naik, tepung naik, minyak masak naik, telur ayam naik, ikan naik, sayur naik, ayam naik, roti canai naik, teh tarik naik, teh o pun naik. Macam-macam naik! Malahan elektrik juga akan naik. Apa usaha kita hendak berjimat. Nak tanam sayuran di hadapan rumah, tanah sekakang kera. Duduk rumah ala burung merpati...di mana nak tanam sayur. Nampaknya, bagi umat Islam, banyakkanlah berpuasa. Buka puasa makan ala kadar je!

Hari ini sebaik sahaja langkah keluar dari rumah, semuanya berbayar. Malahan ke tandas awam mesti sediakan 20 sen atau 30 sen. Apatah lagi naik kenderaan awam. Semuanya berduit. Bagi yang berkeluarga besar tapi bergaji kecil, kesian sekali. Bagi pekerja yang gajinya memang tak naik sepanjang bekerja, bukankah akan sakit jiwa. Harga makanan di luar semakin tinggi. Kalau tidak berharga RM4 ke atas, alamak makan nasi dengan kuah je (itupun harganya lebih dari RM1).

Entahlah! Tunggu sajalah, semuanya pasti naik tak ada yang hendak turun.

3.6.08

Awak comel!(...siri 2)

Hannah lega setelah meluahkan apa yang terbuka di hatinya. Apakah orang tidak tahu yang dia juga ada perasaan? Umurnya muda tidak semestinya dia tidak ada rasa sedih. Di sudut hatinya menaruh dendam dengan budak lelaki yang sedarjah dengannya. Budak lelaki yang bernama Hamzi memang suka menyakatnya sejak dari darjah satu lagi. Peliknya, kenapalah guru kelas masih menempatkan ia di dalam satu kelas yang sama sehingga darjah lima. Bila ditanya siapakah yang menyakat, ia hanya dia. Biarlah ia rahsia. Ia tidak mahu abangnya membalas dendam pula!

Tapi satu yang paling mengejutkannya, pada suatu hari dia terima sepucuk surat. Sekeping kertas yang boleh dianggap sebagai surat walaupun tak ada sampul surat. Diselitkan di helaian buku teks mata pelajaran agama pula. Terkejut sungguh bila sudah tiba waktu pelajaran agama, Ustaz Riduan suruh anak muridnya keluarkan buku teks. Sedang mengelak halaman yang diminta ustaz untuk membacanya, terselitlah surat biru itu yang dilipat tiga kali. Mukanya cuak. Siapa pula yang hantar surat yang misteri itu? Cepat-cepat dia sorokkan dalam beg sekolahnya. Nasib baik tiada yang perasan.

Tapi, perasaannya tidak tenteram. Sepanjang yang diajar oleh Ustaz Riduan tak ada yang masuk dalam otaknya. Fikirannya menerawang. Hatinya bagai digamit-gamit tak sabar nak baca surat misteri. Ah! Kacau sungguh! Siapa pula nak tulis surat untuk aku? Masih sekolah rendah tapi ada hati nak tulis surat, getus hati Hannah. Kalau emak tahu ini mesti aku kena marah. Kecil-kecil sudah pandai main mata. Siapa pula main mata? Budak lain yang main mata. Atau itu bukan surat tapi hanya secebis kertas kosong. Ah tak pasti? Belum lagi dibuka mana hendak tahu surat atau kertas biru!

Dia terlupa juga tentang surat misteri itu. Mulanya tak sabar nak baca kini hilang bila dia mula berborak dengan kawan-kawan semasa waktu rehat di kantin. Sampai balik pun dia masih lupakan surat itu. Malam itu dia hendak buat kerja rumah. Dia keluarkan satu persatu buku teks. Ada kerja rumah yang disuruh oleh Ustaz Riduan. Ia hendak habiskan juga malam itu juga.
Sedang selak dan cari muka surat yang ada latihan, tiba-tiba jatuh sekeping kertas yang berlipat. Ya Allah! Baru dia teringat surat misteri itu. Hatinya berdebar-debar. Tangannya menggigil semasa membuak lipatan surat itu. Nasib baik dia seorang diri dalam bilik. Dia bangun sekejap dan pergi ke pintu. Saja hendak pastikan pintu biliknya berkunci. Dia duduk di birai katilnya. Dia mula membaca. Eee... teruk tulisannya!

Kepada,

Nurin Hannah Abdullah

Saya sungguh minat pada awak. Saya ingin kenal dengan awak, boleh tak? Awak comel dan putih. Saya suka lihat awak bila awak marah. Kita boleh jadi kawan baik, boleh tak? Kita harap awak tak marah, ya! Tapi boleh tak nanti awak balas surat kita ni.

Pecah kaca pecah gelas,
sudah baca nanti awak jangan lupa balas.


Hamzi.

Hannah campak surat yang sudah dibaca. Hatinya terasa geli geliman. Hamzi yang hantar surat itu. Budak yang suka sakatnya. Dia ambil balik surat itu dan mengoyaknya kecil-kecil dan dibuang dalam bakul sampah yang terletak di sebelah meja belajar. (...bersambung)