27.5.08

Kita tidak serupa dik! (siri 1)

Panas terik matahari itu berada tepat di atas kepalanya. Mata memincing menahan peritnya cahaya yang menghalang matanya untuk membuka dengan besar. Dia berjalan dengan tenang. Peluh semakin membasahi belakang bajunya. Em! Baunya sungguh menyesak hidungnya. Peluh menitis di mukanya bagaikan titisan peluh jantan sedang bekerja di tapak pembinaan. Aduh! Penatnya hari itu.


Si gadis sunti yang jalan beriringan bersamanya mendahuluinya. Fathi Nur Hakim melangkah besar. Si gadis sunti tidak menoleh bila namanya dipanggil bertalu-talu. Mereka berdua memakai pakaian seragam sekolah rendah. Si gadis sunti berkulit putih dan memiliki sepasang mata yang sedikit sepet memakai seragam gaun sekolahnya, berjalan dengan lajunya sehingga meninggalkannya. Terpinga-pinga dibuatnya. Muka masam si gadis sunti seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.


“Hannah! Hannah! Tunggulah Abang! Mengapa laju sangat?” Fathi berlari anak cuba menyaingi adiknya yang kini melangkah dengan laju. Hairan dengan tingkah adik. Muka yang tidak jelak dipandang kini mukanya bertukar kemerah-merahan. Terasa tidak jemu melihat wajah itu yang bertukar dari putih ke merah itu. Comel sekali. Tidak seperti dirinya yang berkulit sawo matang. Terkena pancaran cahaya matahari yang menyengat, mukanya bertambah berkilat dan hitam. Tumbuh sebiji dua jerawat jantannya. Sungguh memalukan!


“Hannah! Berhenti sekejap!” kata Fathi sambil menarik lengan kanan adiknya. Adiknya terhenti dan menoleh ke arahnya.
“Mengapa abang tarik tangan adik, sakitlah!” katanya dengan suara yang kasar. Merenung abangnya dengan mata tajam. Tiada sedikit senyuman di wajahnya. Lidah dijuihkan kepadanya yang dianggap sebagai menyibuk.
“Cakaplah, apa salah abang? Jika salah abang minta maaf. Ada masalah? Abang tidak faham kenapa adik tiba-tiba mendiamkan diri dan tidak bercakap dengan abang?”


Tuanya hanya setahun daripada adiknya Nurin Hannah. Bersekolah rendah di sekolah yang sama. Masing-masing berada di dalam darjah enam dan lima. Setiap pagi di hantar oleh bapa ke sekolah dengan kereta. Balik dari sekolah hanya berjalan kaki. Jarak antara sekolah dengan rumah lebih kurang 20 minit berjalan kaki.


Tiba-tiba mereka berhenti di sebatang pokok ceri yang rendang di tepi jalan. Pokok ceri yang berbuah kecil kelihatan ada yang sudah masak merah dan boleh dipetik. Selalu memetiknya bila balik dari sekolah. Adik beradik itu duduk di tembok simen yang dibina rendah separas peha orang dewasa yang membolehkan sesiapa hendak berhenti dan duduk sebentar bagi melepaskan penat.


“Adik Hannah cakaplah, sebab apa adik marah?” Fathi memujuk adiknya yang masih enggan bercakap.
“Tadi di kelas adik, ada seorang budak lelaki yang suka mengusik adik. Adik tak kisah. Tetapi...,” Hannah terhenti dari meneruskan kata-katanya.
“Mungkin dia sengaja usik adik. Adik itu comel, sudah tentu ramai budak lelaki yang suka dengan adik.”


Fathi ketawa kecil. Tetapi kata-kata Fathi sedikit pun tidak mencairkan hati Hannah yang sedang marah. Kemarahannya semakin bertambah. Meluap-luap. Abang bukan hendak membelanya. Malahan dirasakan seperti mengusiknya. Dia menarik muka masam. Fathi sedar dengan sikap adiknya dan mula memujuk supaya teruskan ceritanya. Hannah termakan pujukan abangnya.


“Adik marah, mereka kata adik ini anak orang Cina bukan anak orang Melayu,” kata Hannah dengan sebak dan mula mengalirkan air matanya. Kedua-dua tapak tangannya menutup mukanya. Hatinya mudah tersentuh bila orang lain mengejek-ejek yang dia anak orang Cina. Mereka kata, mukanya tidak sama dengan abangnya. Berbeza sungguh ibarat langit dengan bumi.


Fathi melihat adiknya mulai menangis. Tidak tentu arah dirinya. Ia menoleh ke hadapan kerana budak-budak sekolah masih ramai yang lalu lalang di tepi jalan itu. Ia rapatkan diri dengan adiknya dan memujuk dengan suara perlahan.


“Adik Hannah, janganlah menangis kat sini. Orang lain tengok tidak elok. Nanti orang ingat kita bergaduh!”


Fathi memegang tangan adiknya. Ia tarik dengan lembut dan mengajaknya beredar dari situ. Ia bimbang nanti ramai pula yang melihat adiknya menangis dan dia pula dipersalahkan.


“Sabarlah dik! Jangan ikutkan hati. Nanti adik sendiri sakit hati dan susah hati. Biarkan mereka. Nanti mereka yang dapat dosa kerana mengejek dan mengata adik. Pekakkan telinga. Adik banyak berdoa kepada Allah supaya adik banyak bersabar.”


Panjang nasihat Fathi kepada adiknya. Itu sahaja yang ia mampu lakukan untuk memujuk adiknya supaya berhenti dari menangis. Sebagai seorang abang, rasa tanggungjawab menjaga kebajikan adiknya dari diusik. Meskipun usianya masih muda, Fathi amat menyayangi adiknya dan ia rasa perlu menjaga hati adiknya supaya tidak terguris lagi. Didikan dari kedua ibu bapanya mematangkan fikirannya. Ia bertindak seperti budak berada di sekolah menengah. Fizikalnya yang tinggi tidak sangka dia baru darjah enam. Sekiranya tidak menyarung seragam sekolah rendah, orang sangka dia sudah berusia 13 tahun ke atas. Dia tidak seperti budak lelaki lain yang masih bersikap keanak-anakan.
...................................................................
Tuah badannya kerana memiliki adik secantik Hannah. Kulit Hannah putih daripadanya. Ada masanya dia berasa hairan, mengapakah kulit mereka tidak sama dari segi warna? Bila dtanya dengan emak, dikatakan yang dia mengikut kulit bapanya dan Hannah kulit emaknya. Tetapi yang pelik, mengapa pula mata Hannah sepet dan mata dia tidak sepet? Banyak pula soalan yang bermain di mindanya. Dia pernah ajukan soalan itu buat kali kedua kepada emaknya semasa Hannah menceritakan dia diejek sebagai anak Cina. Emaknya membeliakkan matanya tanda tidak suka soalan-soalan yang mengaitkan dengan diri Hannah. Ia mula gusar dengan sikap emaknya. Mengapakah emaknya mula naik angin bila soalan yang sensitif begitu? Angin emaknya jelas bila soalan itu dikhususkan tentang diri Hannah.


Selepas itu, ia tidak peduli lagi. Malas hendak memikirkan terhadap soalan yang tiada jawapan. Bila ditanya, jawapan dari memek muka emaknya sudah terkesan di hatinya. Tapi ada masanya bila termenung seorang diri, ia mula fikir. Lebih-lebih lagi bila kena marah dengan emak atau bapa. Ia bawa diri menyorok bawah katil berjam lamanya sambil tersedu-sedan. Mulalah ketika itu, fikirannya mula menerawang yang bukan-bukan. Bapa pilih kasih. Emak tidak suka pada dirinya. Semuanya berkecamuk dalam darah mudanya. Bila perut berkeroncong baru keluar dari sembunyiannya. Buat muka sardin terus pergi dapur cari makanan. Tiada sesiapa di dapur. Dia duduk sambil menikmati biskut. Bila perut kenyang adakalanya dia sambung monolog dalam hatinya.


“Benar juga, mengapa antara aku dengan adik Hannah berbeza. Ish! Banyak yang tak sama. Aku gelap, Hannah putih. Mataku bundar, mata Hannah sepet. Rambutnya lurus, rambut aku pula ketak-ketak. Aku lebih tinggi dari dia. Tapi aku lelaki mestilah kena tinggi dari perempuan! Kulitnya lembut, kulit aku kasar. Ish! Memanglah kasar! Aku lelaki, dia perempuan. Takkan sama kulit lelaki dengan perempuan. Memang tak sama! Jelas antara aku dan dia memang berbeza. Kita tidak serupa dik!” Garuk kepalanya yang dihiasi dengan rambut ketak-ketak.


Betul juga tekaanku! Gerutu dalam hatinya. Tidak berani hendak luahkan kepada sesiapa. Nanti dikata dengki dengan adik. Tapi betullah! Emak rambut ikal mayang, tidak lurus macam adik. Bapa pula macam aku, ketak-ketak! Ish....ish.....! Aduh sakit kepala aku fikir. Ya, Allah apakah benar tekaanku? Biarkanlah! Bukan masalah aku! Tapi aku cemburu juga!


Geleng-geleng kepala sambil mengunyah biskut lemak yang diambil dari tin yang disorok emaknya dalam almari. Dia tahu mana sahaja yang emaknya simpan barang yang penting. Itulah kelebihan dirinya yang suka mengintai emaknya buat kerja di dapur. Dia tersenyum sendiri sambil matanya meliar lihat di pintu masuk ke dapur. Bimbang pula ada orang masuk ke dapur semasa dia sedang nikmati biskut kegemarannya.

(...bersambung)

23.5.08


Cinta dan cita ku ini


Cinta dan cita ku hanya satu
ingin sebarkan angin kebenaran
apa jua caranya
bagi ku itu satu kewajipan
bagi setiap insan
yang akui dirinya Muslim

Namun kemampuan terbatas
hanya ungkapan bisu
catatan kaku
seribu titipan coretan
asas setitis ilmu
untuk tatapan insan dunia
sebagai bekalan ku di alam sanai

Itulah sezarah ilmu
senipis kulit bawang
yang ingin dikongsi
bersama mereka yang sudi
moga-moga diberkati-Nya

saridahamid
22 mei 2008

14.5.08

Fahamilah kerja secara berkumpulan

Sudah hampir 18 tahun bergelumang dengan dunia komunikasi. Pelbagai bentuk komunikasi diceburi termasuklah dalam dunia media cetak dan juga elektronik. Memang pengalaman sepanjang menyelusur medium komunikasi mengalami perubahan mendadak. Dari mesin taip yang mengeluarkan iramanya yang menyakitkan telinga sehinggalah kini menekan keyboard yang tidak mengeluarkan bunyi. Dengan sentuhan lembut jejari, sudah boleh menghasilkan ribuan perkataan dengan pantas. Malahan, kini untuk mencari berita terkini, hanya menyentuh di hujung jari, maka maklumat dicari akan mudah dikesan hanya berlabuh di sesawang alam siber. Perubahan demi perubahan dalam dunia komunikasi akan terus meningkat pesat. Adakah aku mampu untuk mengikut perubahan mendadak itu?

Namun begitu, ada segelintir insan yang masih tidak mampu mengejar dunia komunikasi yang pesat ini. Seolah-olah mereka ini ketinggalan atau syok dengan dunia sendiri. Mungkin dia boleh berkomunikasi dengan mesin tetapi dengan makhluk yang bernama manusia, masih lagi tidak faham. Adakah dia perlu menambah ilmu komunikasi interpersonal? Entahlah, bukan boleh dipaksa untuk mempelajari sesuatu itu. Ada orang kata, kita tidak boleh ubah seseorang itu? Adakah kenyataan itu benar? Adakah kita sudah berusaha melakukan sesuatu atau sekadar berkata-kata kosong? Apakah kita manusia yang dilantik sebagai khalifah begitu daif merasakan diri tidak mampu berbuat apa sedangkan belum lagi berbuat sesuatu tindakan. Itulah manusia, mudah mengalah sebelum berjuang.

Jika diri terasa sebagai pemimpin, komunikasi itu adalah ilmu yang paling utama. Bagaimana hendak komunikasi dengan orang yang dipimpin jika diri sendiri juga tidak terpimpin? Diri sendiri hanya memikirkan bagaimana hendak majukan diri tanpa mempedulikan orang lain. Orang lain kalau boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk meraih kejayaan peribadi.
Wajarkah jika hendak maju dibebankan ke atas pundak orang lain? Tanpa membantu atau memberi rangsangan. Malah dibiarkan seseorang itu melakukan sendirian tanpa sebarang bantuan. Selepas itu mengharapkan yang terbaik. Sedangkan kemudahan yang diminta tidak pernah dipedulikan. Bekerja secara berjemaah adalah digalakkan dalam Islam. Tetapi sejauh mana penghayatan itu? Adakah sekadar tahu tapi amalan tiada? Ini yang sukar ditafsirkan hati seseorang. Zahir nampak komited tetapi batin, Allah sahaja yang tahu.

Sesungguhnya, dalam bidang media ini memerlukan satu jalinan kerja yang toleransi. Setiap orang ada bahagian kerjanya yang perlu dilaksanakan dan sudah tentu antara satu sama lain akan saling berkait bagi memastikan kerja itu dapat dilaksanakan dengan baik. Tetapi apabila beban kerja itu di longgok ke bahu seorang sahaja, sudah tentu akan terbeban dan timbul rasa jelak dalam diri individu yang terbabit. Target yang mengarut sudah tentu tidak dapat dicapai. Tanggungan beban itu tidak larat dileraikan, kerana tangan manusia hanya ada dua sahaja, tangan kanan dan tangan kiri. Itulah jika manusia perasan. Tetapi ada juga manusia yang tidak bersyukur dengan anugerah Tuhan. Mengharapkan sesuatu yang tidak masuk akal.

Itulah akibatnya jika kerja secara berpasukan, berjemaah, berkumpulan atau apa istilah yang lain, tidak benar-benar difahami. Apabila nafsu dunia menguasai otak, yang dilihatnya untung, untung, untung! Itu sahaja di fikirannya tanpa memikirkan tenaga kerja yang berapa kerat ini mampukah mencapai target? Kalau susah-susah, buat sendirilah! Baru dirasanya, betapa payahnya kerja yang memang bukan bidangnya. Harap hendak untung tapi hendak memahami skop kerja, langsung tiada dalam fikirannya.

Sudah itu, hati insan-insan yang menabur budi, memastikan untung bagi dirinya tidak pernah dihargai. Bakhilnya lebih kedekut dari Haji Bakhil yang berangan beristeri lagi. Tidak salah dan memang tidak salah pun kalau memberi sesuatu itu dikongsi bersama dengan mereka yang bergelumang memerah otak dan juga air peluh yang dikeluarkan untuk menghasilkan yang terbaik.

Susah atau sukar juga jika seseorang itu tidak pernah bekerja secara berjemaah atau berkumpulan. Lebih sulit lagi, jika dia sendiri tidak tahu atau memang tidak mahu tahu, janji siap. Hati manusia bukan robot. Dikerah sesuka hati. Sesungguhnya pengalaman yang aku lalui ini adalah sesuatu yang perlu aku ambil iktibar. Harapan bila aku jadi boss nanti (entah bilalah agaknya!), janganlah aku tergolong dalam golongan yang tidak diberkati Allah. Minta dijauhkan!

4.5.08


Surat terakhir...


Dalam zaman ICT ini, kawan-kawan lebih suka menghantar surat melalui email. Cumanya hari ini, surat-surat rasmi akan diterima secara pos yang selalunya dikaitkan dengan surat rasmi dari pihak dewan bandaraya, pihak bank, pihak telekomunikasi, pihak pinjaman, malahan mungkin ceti pun ada dan yang berkaitan supaya membayar bil tertentu dengan segera.

Tapi lewat petang itu, akhir bulan, sepucuk surat diterima melalui hantaran tangan. Apabila dibaca, hati ini tidaklah terperanjat sangat. Malahan, rasa syukur, Alhamdulillah! Lepas ini, tidak perlulah untuk memikirkan bait-bait ayat untuk mereka isi surat yang bakal dikirimkan pada hujung bulan mendatang. Niat hati, memang tiada hati lagi hendak meneruskan cita-cita di situ. Apatah lagi, membina impian. Hanya tinggal mimpi di petang hari.

Kiranya, surat terakhir itu menjadi lipatan sejarah dalam hidup ini. Sepanjang bekerjaya, itulah surat keramat yang mengundang seribu pertanyaan (macam boleh buat cerpen pula). Tanpa alasan, tanpa kritikan. Malahan, si penerima surat terakhir itu juga malas hendak mencari alasan. Siapalah kita? Ibarat melukut di tepi gantang (alamak! Macam lagu Aishah pula, yang mendayu-dayu, syahdu). Selepas, berlangsungnya acara gilang gemilang. Selepas semuanya sudah beres, 'you boleh blah!' (kasarnya ungkapan itu!). Tidak diizinkan walau setitis air mata mengalir! Merugikan sahaja! Keras hati ini. Tapi, jika menangis sebab dosa memang banyak itu adalah wajar!

Kehairanan juga di hati, semasa diperlukan,beria-ia berdiskusi, berbincang masa depan, hendak bersaing sihat dengan yang ternama, hendak mengikut jejak yang terbilang, dan bla...bla...berdakwah melalui media...bla...bla... Sudahlah itu semua hanya manis di bibir. Ibarat tanam gula di bibir..akhirnya dapat diabetes!

Wajah manusia ini bermacam rupa. Ada yang ok, tapi sebenarnya tak ok. Ada yang macam tak ok, tapi ok pula. Tak ada dengki, tak ada benci, tapi ikhlas di sudut hatinya Allah sahaja yang tahu. Yang ada pengalaman, ditolak tepi, you siapa? Yang rajin dikatanya pemalas. Yang kreatif, idealis, dikatakan penyemak! Menyusahkan! Yang sungguh bertimbang rasa dikatakan sukar bekerjasama. Yang cantik pula dikatakan bagus, rajin pada hal di belakangnya, kutuk mengutuk, asyik buat kerja lain, asyik mengata, asyik tong...tong...tapi itu dikatakan cemerlang. Dunia, dunia penuh dengan pancaroba dan juga kepura-puraan.

Cerminan diri ditampilkan hebat di mata orang ramai. Upah dibayar sejemput tapi eksploitasi tenaga diperah seperti memerah limau kasturi sehingga kering hingga boleh buat jus dan mendapat hasilnya terbaik. Menurut seseorang, itu dikatakan perhambaan zaman moden. Orang tak terasa tapi itulah hakikatnya. Mata dikelabui dengan kebaikan, tetapi secara tak terasa minda dan tenaga diperah ibarat santan yang diambil dari kelapa yang boleh digunakan pelbagai cara sama ada masak nasi lemak, buat pengat, masak kari ayam, buat sekaya, dan seribu macam lagi. Itulah kepandaian yang disalahgunakan untuk memperhambakan kaum elit yang sewaktu dengannya.

Kata berdakwah, tapi ibarat pepatah melayu berkata, kuman di seberang nampak dengan jelas, tapi gajah di hadapan mata langsung tak nampak. Gamaknya kena pakai kanta pembesar baru nampak jelas. Itulah situasi manusia pada akhir zaman. Ya Allah, daku pohon kepada-Mu semoga aku tidak tergolong dalam golongan itu. Na'uzubillah min zalik!