23.10.07

Suasana di bulan Syawal



Senario 1



Sudah seminggu Syawal berlalu. Begitu pantas berlalu, kini mulalah kembali menyemak kerja-kerja yang tertangguh. Banyak kerja tertangguh termasuk penulisan yang tidak siap. Mood malas menulis masih melanda dalam diri. Perlu dimotivasikan diri sendiri. Ada ketikanya, diri kita perlu dipaksa secara maksimum. Diri semakin dewasa, sewajarnya semangat lebih jitu dari budak kecil. Aduh! Di manakah rasa mood itu yang boleh menceriakan kembali jiwa ini supaya bersemangat untuk menyambung kerja-kerja penulisan tertangguh.



Senario 2



Semasa bulan Ramadan, terlihat kelibat seorang kawan lama di kaca tv yang mula menyarung kepala bagi menutup helaian rambutnya yang selama ini terdedah. Hati mengucap syukur mungkin itu satu penghijrahan mulia di bulan mulia. Mungkin hatinya terbuka dan terima sinar hidayah di bulan mulia. Diri ini memang mengenali diri kawan itu agak lama juga. Tetapi mungkin dia yang tidak berapa kenal diri ini kerana dirinya sudah glamer dan tersenarai dalam golongan selebriti. Dulu-dulu, mana ada kelompok selebriti, kini sahaja pihak media pandai dan bijak mengelar seseorang itu berdasarkan kerjayanya. Jika dahulu kerjaya sebegitu tidak dipandang tinggi, kini kerjaya itu lebih tinggi dari ulamak atau guru agama. Namun begitu, pujian melangit hanya tinggal di langit mungkin dibawa oleh kononnya angkasawan Malaysia pertama yang berjaya melancong selama 10 hari dilangit. Maka, tudung yang menutup kepala kawan itu pun terbang, apabila menjelangnya Syawal. Aduhai! Rugi sungguh amalan ibadahnya selama ini. Seolah-olah itu satu permainan. Hati ini sudah tidak tertarik dengan keletahnya lagi!



Senario 3



Dalam kemeriahan berhari raya, dikejutkan pula dengan kematian seorang budak lelaki darjah satu yang ditikam dengan serpihan kaca. Sungguh menyedihkan! Budak tidak berdosa ditikam dengan kejam oleh budak berotak berumur 15 tahun. Apalah yang diketahui budak berhingus apabila mengejar ayam belanda. Tentu budak itu sekadar seronok mengejar ayam belanda yang berlari terkedek-kedek. Tetapi panas baran budak 15 tahun terbawa-bawa sehingga sanggup merancang membunuh budak yang masih belum kenal erti hidup di dunia. Apa hendak jadi dengan masyarakat hari ini? Membunuh seolah-olah satu penyelesaian ke atas masalah yang kecil. Ya Allah selamatkanlah umat Islam yang semakin tipis imannya. Amin!



Senario 4



Apabila beraya, yang seronoknya apabila saling kunjung mengunjungi antara satu sama lain. Menziarahi sanak saudara yang bertemu hanya setahun sekali. Dan yang pasti menyeronokkan adalah pelbagai hidangan yang dijamah. Termasuklah pelbagai air yang dihidang. Merasa pelik, orang-orang kampung suka menghidangkan tetamu dengan air bergas. Ini yang tidak digemari oleh aku. Aku pantang tengok air bergas kerana kandungan gulanya mengalahkan gula dalam air teh o. Tetapi apabila tuan rumah sudah dihidangkan terpaksalah minum seteguk dua buat menghilang dahaga. Adakalanya buat muka tidak malu, minta air suam. Setelah disogok bertalu-talu dengan air bergas, perut mula meragam. Cirit birit akibatnya. Maklumlah, semasa berpuasa, makan dan minum dijaga, tetapi masuk Syawal, perut tidak dapat dikawal. Nafsu makan menguasai diri. Itulah kelemahan insan bernama manusia.



Senario 5



Raya pertama, sebelah petang, bersama dengan bonda tercinta dan adik beradik yang lain berkunjung ke pusara ayahnda. Cuaca mendung dan berawan gelap menyambut kedatangan kami. Kawasan perkuburan itu adalah terkenal di Kuala Lumpur kerana disemadikan jasad-jasad yang terkenal juga. Tetapi arwah ayahndaku bukan terkenal tapi orang biasa. Mungkin kerana menjadi anak jati daerah itu, maka semadilah arwah ayahnda di situ. Antara jasad terkenal termasuklh, allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan isterinya Saloma. Yang kubur mereka berhadapan dengan kubur ayahndaku. Sebaik sahaja, abangku selesai membaca doa dan kami mengaminkannya, hujan lebat pun turun. Angin kuat bertiup diiringi dengan hujan lebat melecunkan aku dan juga yang lain. Kasihan bonda yang turut basah kuyup. Payung yang diharapkan pelindung hujan tidak boleh melawan angin kuat. Episod hendak beraya seterusnya ke rumah saudara lain terbantut dengan keadaan basah kuyup. Aku mula menggigil dan alhamdulillah masih bertahan, tidak terkena demam.



(Harap maklum, senario di atas tiada kaitan dengan kumpulan Senario!)

9.10.07

Salam Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin
Bulan Ramadan semakin meninggalkan kita semua. Begitu pantas masa berlalu. Seolah-olah baru semalam berpuasa pada hari pertama. Rasanya kenikmatan Ramadan belum puas diraih. Sebagai insan yang lemah, banyak kelemahan dalam bulan Ramadan. Mengejar ganjaran pahala sebaik mungkin, tetapi adakah amalan itu sudah diterima Allah? Semoga Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang perkenankan amalan yang tidak seberapa ini. Amin...
Kini, menjelang bulan Syawal. Bulan kemenangan setelah berpuasa menghadapi segala cabaran dalam Ramadan. Namun, kemenangan itu hendaklah dilakukan sebaik mungkin dengan amalan yang berfaedah. Bulan ini jugalah mengikut tradisi orang Melayu, berkumpul adik beradik dan sanak saudara di kampung. Bulan ini juga dianjurkan saling maaf bermaafan antara satu sama lain. Bermaafan dengan penuh keikhlasan. Penuh kasih sayang dan kemesraan.
Saya memohon maaf sekiranya sepanjang apa yang dicatatkan dalam blog ini menyinggung hati pembaca. Kepada semua pengunjung blog ini saya, terima kasih kerana sudi membaca coretan yang tidak seberapa.
Kepada semua petugas PTS Publications & Distributors Sdn.Bhd yang mengenali diri ini, sambutlah salam Aidil Fitri, maaf zahir dan batin. Semoga selamat dalam perjalanan pulang ke kampung dan selamat kembali bertugas semula di Kuala Lumpur.
Kepada sahabat-sahabat sama ada dari blog dan sahabat bengkel PTS, semoga gembira berhari raya bersama keluarga. Semoga kita semua berada dalam rahmat Allah yang maha pengasih.
Kepada sahabat-sahabat penulis, teruskan berkarya meskipun sibuk berhari raya. Teruskan perjuangan menyampaikan ilmu yang berguna. Itulah bekalan kita di sana. Selamat lebaran Aidil Fitri, semoga produktif menghasilkan manuskrip. Amin...
Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir dan Batin.

8.10.07

Nostagia AidilFitri
Semasa kecillah paling meriah menyambut raya. Memandangkan adik beradik ramai dan bapa pula bergaji kecil, kiranya raya disambut dengan sederhana. Emak pula seorang yang prihatin terhadap makanan anak-anaknya. Jadi kami adik beradik akan menunggu hari raya bagaikan menunggu hari menikah pula! Apa tidaknya, masa itulah saat-saat kami boleh menikmati juadah yang sukar didapati pada hari biasa.
Kuih raya jangan cakaplah, memang tidak pernah bertemu pada hari biasa. Hanya hari raya kita boleh bertemu. Bukan seperti hari ini, di luar musim raya pun kita boleh membelinya. Dulu-dulu, beli-beli kuih tidak mainlah. Semuanya original buatan bonda tercinta. Emak yang mahir dalam masak memasak akan memulakan projek buat kuih pada minggu pertama.
Minggu pertama lagi sudah sibuk menjemur tepung dan gula. Sekiranya emak buat agar-agar kering..awal puasa lagi sudah dimasak, dipotong dan dijemur di tengah panas setiap hari. Begitu juga dengan kuih putu kacang. Awal puasa sudah membersihkan kacang hijau dan kemudiannya meminta abang sulung menghantar ke kedai yang agak jauh dari rumah untuk mengisar kacang itu. Dulu-dulu, mana ada mesin pengisar seperti hari ini. Sekiranya hendak memasak sambal tumis, emak menggiling cili sahaja. Tetapi rasanya, masyaAllah sedap tak terkata!
Selepas kacang hijau menjadi tepung, bermulalah proses mengaul dan menekan ke acuan. Akhir sekali proses mengetuk acuan supaya kuih yang ditekan itu keluar dengan cantik. Kemudiannya, disusun dalam dulang besar dan dijemur setiap hari di panas terik matahari. Setiap kalilah, kami melihat kuih yang terjemur itu dengan air liur yang melilih. Maklumlah bulan puasa...tetapi ada seorang budak nakal yang tidak puasa (belum cukup umur) mengambil kuih itu sebiji setiap hari. Emak pun hairan, kenapa kuihnya semakin susut. Tapi emak tidaklah melakukan siasatan rapi, tak masa kerana banyak kerja yang perlu dilakukannya.
Teringat lagi, kuih yang pasti tidak dilupakan oleh emak, adalah kuih bangkit kelapa. Setiap tahun mesti buat. Kuih semperit, mazola dan kek tetap dibuat. Dan bila lagi seminggu hendak menyambut raya, tumpi dan rempeyek mesti dan wajib dibuat. Kiranya itu kuih ruji bagi keluarga kami. Sekiranya emak kata tidak larat hendak membuatnya, kami adik beradik akan merengek-rengek, merayu-rayu pada emak. Emak yang melihat anaknya dengan penuh kasih sayang akhirnya akan buat. Bagi menyimpan kuih itu, emak membeli beberapa tin biskut yang besar untuk menyimpannya. Dan bagi mengelakkan susutnya kuih itu sebelum raya, emak sembunyikannya. Adakalanya tempat persembunyian itu diketahui oleh salah seorang anaknya yang memang ada cita-cita hendak jadi pengintip. Jadi sekiranya, situasi mengizinkan, sekeping demi sekeping hilang dari tin itu. Alahai minta maaflah emak! Nafsu makan tidak boleh dikawal ketika itu.
Dalam pada itu juga, emak tidak lupa menyediakan pakaian raya untuk kami adik beradik. Yang perempuannya, dibuatkan baju kurung dengan gaun. Warnanya sama, macam pasukan boria kami adik beradik. Senang, kata emak. Beli aja sepapan kain..tak ada pening-pening kepala nak beli macam-macam warna dan corak. Dan yang istimewanya, emaklah juga yang menjahitkan baju untuk kami. Kami amat bangga dengan usaha emak menyediakan persiapan raya untuk kami.
Seminggu sebelum hendak hari raya juga, bapa akan sibuk mencari kayu getah untuk dibuat kayu api. Bapa yang berkerja dengan gomen dan selalu berada di luar pejabat, dengan mudah mendapatkan kayu getah dari beberapa tempat. Yang seronoknya, bapa bawa balik kayu itu dengan lori dan riuhlah kami melihat orang memunggah kayu itu dan disusun dengan rapi di halaman rumah kami. Tradisi keluarga kami, mesti masak lontong. Lontong kami bukan nasi himpit yang dibuat dalam plastik tetapi lontong yang dibuat dalam kelongsong daun pisang batu. Hanya pisang batu sahaja, pisang lain tak main kerana warna hijau tidak terserlah kalau guna daun pisang lain.
Dua hari sebelum raya, emak dan bapa sibuk membuat kelongsong pisang itu. Kami adik beradik menyibuk menolong menyempah sahaja. Tetapi hasil dari pengamatan kami yang suka menyibuk, sehingga hari ini kami masih mewarisi kaedah membuat lontong. Emak pula akan membuat pesanan kepada taukeh kedai runcit supaya menyimpan tin minyak tanah (yang berbentuk empat segi tidak tepat) untuk dijadikan tempat merebus lontong. Jangan terperanjat, sudah tentulah tin itu dibasuh dengan bersih dan membuang segala bau minyak tanah. Takkanlah, emak hendak rebus dengan minyak tanah, (biar betul!). Sekurang-kurangnya tiga tin minyak tanah diperlukan bagi memuatkan 150 batang lontong.
Saat-saat sehari sebelum rayalah yang lebih mencabar puasa kami. Apa tidaknya, ketika itulah emak masak rendang, sambal goreng, kuah kacang, kuah lodeh yang sungguh mengancam deria bau kami yang sungguh sensitif. Ada juga iman tergugat, pura-pura sakit perut! "Emak nak buka puasalah, perut ini sudah sakit!" Awal pagi sudah merungut lapar. Saja-saja dan mengada-ngada. Emak pula buat tidak layan karenah anak yang mengada-ngada kerana banyak kerja yang hendak dilakukan oleh emak.
Kami adik beradik akan sibuk menolong emak mengemas rumah seperti menyapu habuk yang melekat pada kerusi kayu, kipas dan ceruk dinding. Memasang langsir dan menukar sarung sofa, bantal dan cadar. Pokoknya, pada hari itu, baik lelaki mahupun perempuan semuanya buat kerja. Yang lelaki melihat api memasak lontong. Pastikan airnya cukup dan api hidup dengan maraknya. Merebus lontong mengambil masa yang lama. Sekiranya rebus pada pukul 6 pagi, pada pukul 6 petang baru dibenarkan mengambilnya dari tin itu.Menurut emak, dengan cara itu lontong lebih muai masaknya dan tahan lama sehingga seminggu. Sekiranya sempatlah juga dibuat untuk berbuka puasa. Memang kami akan berbuka puasa dengan lontong, masa itulah dapat merasa lontong dan lauk pauk yang emak masak. Emm! sungguh enak sehingga menjilat jari!

3.10.07

Hari jadi di bulan Ramadan


Sesungguhnya, aku merasa bertuah kerana dilahirkan di dalam bulan Ramadan. Hari Jumaat ini adalah hari jadi ku. Pada mulanya, aku tidak peduli dilahirkan dalam bulan apa. Apa yang kau ingat adalah tarikh lahir mengikut kalendar orang putih. Tetapi pada suatu hari, aku pun tidak ingat bila, emak bercerita mengenai kelahiran aku.


Emak kata, semasa orang lain sedang sibuk bersiap sedia hendak berbuka puasa, emak aku pula merasa sudah tibanya untuk melahirkan seorang anak. Ketika itu, mana ada scan-scan macam hari ini, boleh tahu anak itu lelaki atau perempuan. Tetapi dengan kepakaran yang dimiliki oleb bidan kampung, mereka mampu menafsir perut seorang wanita mengandung. Lebih-lebih lagi apabila perut semakin membesar dan di hujung bulan 7 atau 9 bulan.


Kalau mengikut adat orang jawa kuala lumpur (itu yang aku tahulah, orang jawa tempat lain, entahlah) apabila tiba kandungan masuk ke bulan tujuh, maka sibuklah si emak kepada anak perempuan yang sedang mengandung itu hendak membuat majlis lenggang perut. Pada mulanya, aku hendak tergelak mendengarnya. Macam mana pula orang mengandung disuruh berlenggang perut (masa itu fikiran ku masih kecil....fikir yang tidak logiklah dalam otaknya, atuapun penuh fantasi...eh merapu pula aku ni!). Kata emak, ketika itulah, pakar bidan itu akan menafsir anak yang dikandung seorang wanita itu lelaki atau perempuan, kedudukan anak itu mereng atau songsang. Kiranya bidan itu seperti ultra-sound (betulkah alat ini? maaflah buta sains), boleh lihat apa yang berlaku dalam perut yang sedang memboyot itu.


Berbalik kepada cerita kelahiran aku. Emak kata, bapaku kelam kabut memanggil bidan sedangkan waktu sudah hampir hendak berbuka puasa. Terpaksalah mengayuh basikal memanggil bidan yang jarak jauh antara rumah nenek ku dengan rumah bidan mungkin dalam 2km. Kiranya jauh juga tu. Mak Bidan pula sedang menyiapkan juadah berbuka puasa (dulu-dulu mana ada bazar ramadan, pasar minggu adalah tetapi itupun pada hujung minggu sahaja). Agaknya, ketika itu juga dia sudahpun duduk dimeja menunggu azan berkemundang.


Tetapi atas permintaan mengejut, kiranya bidan macam doktor juga bersiap sedia sepanjang masa sekiranya ada kes kecemasan seperti yang emak aku alami, terpaksalah dia berkorban masa senggangnya. Terima kasih bidan kerana menyambut kelahiran ku! Akhirnya, sampai juga bidan ke rumah nenek. Orang dulu-dulu, bila hendak melahirkan anak, taklah nak sibuk-sibuk pergi hospital, lahirkan anak di rumah sahaja. Ini termasuklah diri aku ini, lahir di tengah rumah nenek yang berlantaikan papan dan beratapkan nipah dan zink. Orang lain sibuk berbuka, emak sibuk bersabung nyawa melahirkan aku. Alhamdulillah! Selamat juga aku dillahirkan di dunia ini.


Kini aku semakin mengingati hari jadi aku yang mengikut kalendar Islam. 23 Ramadan adalah tarikh lahirku, tetapi tahun berapa hijrah, aku sudah lupa! Tapi bila menjelma bulan Ramadan, tarikh keramat itulah yang mengingatkan diri ini sudah meningkat usia tua! Syukur kepada Allah, rezeki dimurahkan, usia diberi peluang lagi, jodoh diperpanjangkan, semoga aku boleh menambah amal ibadah sehingga akhir hayatku. Amin.


Selamat hari jadi untuk diriku, insan kerdil di dunia ini!