30.8.07

Apa kebanggaan wanita selama 50 tahun?

Hari ini dan esok adalah hari kesibukan rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan ke 50 tahun. Syukur kerana negara kita sudah terselamat dan bebas dari penjajah yang sudahpun mengaut banyak keuntungan di negara kita ini barulah mereka hendak keluar dari Tanah Melayu. Yang tinggal adalah sisa-sisa yang perlu dibangunkan ataupun ditapis supaya tidak meninggalkan kesan yang teruk. Tetapi, bagi kaum wanita apakah yang perlu dibanggakan selama 50 tahun merdeka? Memang tidak dinafikan, wanita dikatakan banyak berjaya dalam bidang pelajaran dan pendidikan. Mereka banyak menjawat jawatan penting, cumanya jawatan nombor satu yang belum diraih. Tetapi penting sangatkah wanita jadi pemimpin? Itu satu persoalan yang sangat sensitif hendak diulas.

Dalam rasa bangga atas segala kejayaan yang wanita kecapi tetapi kita lupa yang diri kita ini masih dijajah akibat daripada kesan penjajah yang meninggalkan bekas di hati para pemimpin. Wanita masih lagi hendak melaungkan hak sama rata dengan kaum lelaki. Mengapakah begitu? Adakah selama ini wanita tidak diberi hak mereka? Itulah akibatnya sekiranya wanita terutamanya wanita yang beragama Islam tidak menimba dan menghayati ilmu agama Islam secara mendalam. Sekiranya mereka belajar, hanyalah sekadar di pinggiran, sekadar lulus periksa wajib dalam peperiksaan tetapi hendak menghayati Islam sebagai satu cara hidup, nampaknya hanya tinggal bayang-bayang, secara fizikal jauh menyimpang dari agama. Adakah itu yang hendak dibanggakan apabila kita lihat wanita terjebak dengan gejala sosial, hedonisme, penagihanan rokok dan dadah, bohsia, pelacuran, lari dari rumah, dan isu yang paling besar sanggup murtad kerana mengejar cinta yang tak pasti dan juga ganjaran kekayaan yang ditawarkan.

Tiada apa yang hendak dibanggakan pada wanita hari ini kecuali kejayaan duniawi tetapi bekalan jiwa, iman dan amalan untuk akhirat amat tipis. Kita merasa sedih dengan kejadian yang berlaku sama ada secara kejam atau akhlak yang rosak dan golongan sasarannya adalah kaum wanita. Tidak dinafikan yang kita lihat hari ini ramai yang seperti mengamalkan Islam terutamanya gadis dan wanita yang banyak menutup aurat tetapi bertelanjang. Maksudnya, mereka memakai tudung tetapi tidak menepati kehendak agama yang dikatakan menutup aurat itu bagaimana? Ada yang menutup aurat tetapi membonceng motosikal mat rempit, berlegar-legar pada waktu malam, sanggup lari dari rumah kerana mengikut kekasih, bersikap kurang ajar, dan sebagainya yang tidak melambangkan wanita solehah sejati mengikut adunan Islam. Kepala masih ditutup tetapi mengenakan pakaian yang sempit, terbuka di dada dan berlengan pendek. Itu belum lagi memakai baju yang boleh menampakkan lutut sekerat dan juga punggung bercampuk di belakang. Kepala bertudung tetapi rambut terjelir. Entahlah, adakah itu satu fesyen terbaru atau tidak cukup bajet. Fahaman manakah yang mereka pelajari? Tiada pula tindakan undang-undang agama terhadap mereka ini? Pelik tapi benar dan itulah dia keadaan akhir zaman. Yang benar dipandang pelik tetapi yang batil dipandang seronok!

Wanita yang berangan menjadi pemimpin pula sanggup meninggalkan suami dan anak-anak semata-mata hendak mengejar cita-cita berjaya dalam hidup. Wanita yang mengejar dunia glamour sanggup bercerai semata-mata hendak popular dan dikenali ramai. Wanita yang mengejar kekayaan sanggup menggadai diri kerana nafsu duniawi yang tinggi. Wanita yang hendak meraih kesenangan sanggup hantar anak-anak kepada ibu mereka supaya menjaga anak-anak mereka. Wanita hari ini seolah-olah tidak boleh menjadi ibu baik dan isteri yang taat kepada suami. Mereka mudah terpengaruh dengan habuan dunia tetapi lupa dengan ganjaran yang akan diterima di akhirat sekiranya mereka patuh pada agama.

Entahlah! Ini sekadar pengamatan yang cetik dan rasa tidak senang dengan situasi hari ini yang semakin gawat dengan masalah sosial yang tiada kesudahannya. Ya Allah! Semoga kami semua berada di dalam rahmat-Mu dan berada dalam pelindungan-Mu dari segala pengaruh negatif. Amin!

26.8.07

Mengapa ghairah menulis buku dalam bahasa asing?

Menghadiri sesi perbincangan dalam bahasa asing tetapi berada di negeri sendiri dan yang paling dikesali orang yang bercakap bahasa asing itu adalah orang tempatan. Sungguh aku tidak berkenan meskipun bukannya aku tidak faham mereka bercakap. Lebih dikesali, kebanyakan yang hadir dalam program perbincangan itu bukanlah terdiri dari orang-orang asing. Akhirnya diri ini merasa seperti bukan berada di negara sendiri.

Pengalaman menjadi wartawan yang sering berjumpa dalam keadaan terpaksa dengan orang-orang lain, terpaksalah juga menggunakan bahasa asing terutamanya bila berjumpa dengan orang asing. Tetapi bila menemubual dengan orang tempatan, semungkin boleh bahasa ibunda akan digunakan. Alasan kukuh kerana kita ini berada di negara sendiri, mengapakah kita hendak sibuk-sibuk mengagungkan bahasa asing. Sebagai seorang Islam, sepatutnya dari mengagungkan bahasa asing bukannya digunakan di seluruh dunia, lebih baik kita banggakan bahasa Arab. Bahasa al-Quran yang sepatutnya orang Islam menguasainya (tetapi aku masih belum mampu menguasainya apatah lagi hendak memahaminya..itulah kelemahanku)

Begitu juga dengan penulisan buku, timbul di dalam benak fikiranku, kenapakah kita masih lagi sibuk hendak menulis dalam bahasa asing sedangkan masyarakat sendiri budaya membaca mereka masih lagi lemah. Bagiku, sekiranya aku hendak membaca buku dalam bahasa asing, lebih baik aku membeli buku yang benar-benar ditulis oleh orang luar dari negara kita. Aku sendiri merasa hairan, mengapakah kita sibuk-sibuk hendak mengatakan yang buku kita tidak laku, masyarakat tidak ada respon, sukar dipasarkan dan sebagainya. Tetapi bagku, apa yang penting, bahasa adalah penting dalam menyampaikan ilmu. Dalam negara yang bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu, mengapakah kita sibuk hendak tulis dalam bahasa lain? Lainlah, sekiranya kita ini penulis yang popular sehingga disanjung seluruh dunia atau mendapat anugerah novel peringkat dunia.

Namun begitu, malangnya kita ini adalah penulis kecil dalam sebuah negara yang kecil. Sedangkan bangsa kita sendiri bercakap bahasa ibunda pun tergagap-gagap, inikan pula kita sibuk hendak menghasilkan tulisan dalam bahasa asing. Entahlah, mungkin aku ini macam merapu-rapu. Tetapi, hatiku terasa amat kesal dengan sikap segelintir ahli jual buku di gedung-gedung besar begitu mengagungkan buku asing. Dan tidak sedarkah mereka bahawa yang mampu membeli buku asing yang harganya amat tinggi dari buku tempatan adalah golongan orang berada. Aku yang suka membeli buku ini akan berfikir sepuluh kali untuk membayar buku asing yang dikatakan ada kelas. Lebih baik aku beli buku bahasa ibunda atau bahasa nusantara sekiranya maklumat yang terkandung di dalamnya adalah sama dengan buku asing itu.

Kita lihatlah negara-negara seperti yang terdekat Indonesia, Thailand, Jepun, China dan lain-lain, adakah penulis mereka begitu ghairah hendak menulis dalam bahasa asing yang dikatakan bahasa global itu? Sedangkan karya mereka yang berasal dari bahasa ibunda sudah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa lain. Mereka tidaklah sibuk-sibuk seperti penulis Malaysia yang ghairah hendak tulis dalam bahasa asing itu. Tetapi mengapakah orang asing pula berbangga dengan karya mereka dan mereka membaca karya luar yang sudah diterjemahkan. Entahlah, persoalan yang aku lontarkan ini mungkin sehingga hari Kiamat belum pasti ada jawapannya, hanya Allah yang maha mengetahui.

9.8.07

Lima Belas Maksiat yang Menurunkan Bala

Banyak maksiat orang lakukan
Bala kan turun sebagai siksaan
Angin yang merah Allah tiupkan
Gempa yang dahsyat dan menggegarkan

1. Harta negara jadi habuan
Bagi siap pegang jawatan
2. Pecah amanah jadi amalan
Wang amanah diniagakan
3. Jadilah zakat laksana hutang
4. Kehendak isteri tidak dihalang
5. Anak derhaka tidak terbilang
6. Kawan dibakti, ibu dibuang
7. Suruhan ayah suka ditinggal
8. Di dalam masjid suka berbual
9. Orang yang hina suka ditabal
10. Orang dimulia kerana nakal
11. Arak diminum tiada sopan
12. Kain sutera jadi pakaian
13. Para artis jadi pujaan
14. Muzik yang haram jadi hiburan
15. Sudahlah diri teruk sekali
Kenapa pula orang dicaci
Sahabat Nabi suka dimaki
Itu perangai orang yang keji

Petikan: Syair Wasiat di Akhir Zaman
Buku 40 hadis Peristiwa Akhir Zaman
Susunan: Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki.


8.8.07



Terimalah seadanya




Wanita sering disogokkan dengan perkara yang remeh temeh. Apakah perkara remeh temeh itu? Kita lihat dalam surat khabar, majalah, papan iklan, malahan di kedai atau di pasaraya, wanita dimomokkan dengan kenyataan palsu seperti perlu langsing, maka makan ubat langsing yang pelbagai bentuk terdapat dipasaran. Begitu juga dengan produk memutihkan muka yang kurang putih. Tetapi, cuba kita renungkan, sekiranya muka kita memang versi hitam atau sawo matang, bagaimanakah hendak memutihkannya? Adakah kita boleh menjadi seperti Michael Jackson yang dari hitam boleh jadi putih. Tetapi putih kulitnya itu seperti kulit yang bermasalah.




Inginkan bibir yang merah menyala atau seksi, perlu gunakan lipstik yang pelbagai warna. Begitu juga, hendakkan muka yang cantik, gunakanlah make-up yang terkini. Pelbagai iklan mengasak minda wanita. Sesungguhnya, kaum wanita yang mudah terperdaya dan terpengaruh, mulalah memasang keinginan ingin memilikinya. Ingin menjadi seperti model yang memperagakan produk itu. Sedangkan, dari segi kemampuan mungkin tiada langsung. Begitu juga, mungkin juga produk itu langsung tidak sesuai dengan diri kita. Kesannya, apabila digunakan juga, kesan sampingan boleh memudaratkan diri kita. Padahnya, kita mencari penyakit sendiri. Dari memiliki kulit dan badan yang sihat, menjadi lemah dan berpenyakit. Kita juga sudah melakukan perbuatan yang membazir kerana menggunakan produk-produk itu menelan belanja yang bukan sedikit.




Tidakkah kita menyedari yang kita khususnya wanita sudah diperalatkan untuk melakukan atau melariskan barangan yang belum pasti memberi manfaat kepada kita. Wanita mempunyai kuasa membeli yang tinggi. Oleh kerana itu, wanita juga dijadikan sebagai sasaran utama untuk melakukan barangan di pasaran. Kita hendaklah bijak bertindak dalam apa juga yang kita lakukan. Jangan jadikan diri kita sebagai individu yang mudah dipengaruhi.




Sedarkah kita bahawa itu adalah satu cara diri kita dilalaikan dari mengingati tanggungjawab kita yang sebenar. Wanita mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri dan juga kepada pencipta-Nya. Sekiranya tumpuan kita terlebih kepada mengingati perkara-perkara sebegitu seperti hendak mencantikkan diri, melangsing badan, memutihkan diri, mengawetkan muka dan sebagainya. Tetapi kesungguhan kita kepada perkara yang tidak pasti itu menyebabkan kita terlupa dengan tanggungjawab kita yang wajib seperti mengerjakan sembahyang, membuat perkara kebajikan, bersedekah, berzakat, menjaga aurat dengan bukan mahram, menjaga keharmonian rumahtangga (bagi yang berumahtangga).




Kita lihat hari ini, perlambakan jenama kecantikan yang mendakwa barangan mereka yang terbaik. Entah betul atau tidak. Cuba kita fikir sejenak, sekiranya kita asyik sibuk memikirkan cara hendak mencantikkan diri tetapi kita tidak terfikir pula hendak mencantikkan peribadi. Adakah kita pernah berfikir atau memikirkannya, bagaimana caranya kita hendak memiliki peribadi yang cantik seperti isteri Nabi Muhammad, Siti Khadijah yang sanggup berkorban, Aishah yang bijaksana. Setenang Siti Fatimah. Semulia, Asiah isteri Firaun dan ramai lagi.




Apakah benar, kecantikan luaran menjamin kebahagiaan? Itu adalah satu perkara yang abstrak atau belum jelas. Tidak semua orang yang cantik boleh menjamin kebahagiaan. Lihatlah kepada pasangan yang dikatakan ideal, sama cantik sama padan, bagai pinang dibelah dua, dan apa juga jolokan yang diberikan kepada pasangan yang cantik. Tetapi mengapakah apabila setahun atau dua tahun berkahwin, mereka bercerai? Mereka berlaku curang antara satu sama lain?




Rentetan dari itu, apa yang penting, kita berlumbalah mencari ilmu, berlumba meningkatkan keperibadian mulia, menaikkan martabat wanita sebagai seorang Islam, sanggup berkorban kepada agama dalam apa jua bentuk, menyampaikan kebaikan dan mengelakkan diri daripada melakukan kemungkaran, suka menolong orang lain. Jangan sekali-kali membenarkan diri kita terjebak dalam kancah sosial yang negatif. Bergaullah dengan kelompok yang boleh memberi impak yang baik ke atas diri kita. Sekiranya kita berada dalam golongan yang baik maka kita terselamat dari segala yang negatif. Bergaulah dengan mereka yang berilmu, alim, berperibadi tinggi, jujur dalam persahabatan dan selaras dengan kehendak Islam itu sendiri.




3.8.07

Syukur kepada Allah!



Tersebutlah kisah, Si Senah dan suaminya, Si Merah berpindah ke sebuah terataq, di sebuah jajahan yang mempunyai segala kemudahan asas. Si Merah begitu gembira dengan terataqnya yang baru itu, sementara Si Senah hanya memberi sokongan sahaja. Sebagai isteri haruslah mengikut kehendak suami selagi perkara itu mendatangkan kebaikan.



Maka ke dua suami isteri itu pun berkemaslah terataq dengan rapi dan kemas malahan molek lagi. Selama seminggu menginap di terataq itu, adalah hajar Si Merah hendak mengajak Si Senah berjalan-jalan, meninjau-ninjau jajahan baru itu. Manakala, Si Senah merasa malas kerana kepayahan yang tidak terkata. Malahan, musim panas menjelma, maka Si Senah pun merebus seperiuk air bagi dijadikan minuman juga simpanan dalam bekas. Memandangkan periuk itu besar, maka lambatlah ia hendak mendidih. Lalu Si Senah meninggalkannya sendirian di dapur yang apinya marak menyala. Barangkali, Si Senah menyangka yang dia tidak akan lupa.



Namun begitu, tanpa diduga, Si Merah mengajak juga isteri tercinta berjalan-jalan sambil menyinggah makan. Katanya, "Adinda, ada keponakan kekanda menjemput kita makan di rumahnya. Adinda tidak perlulah masak, kita makan sahaja di rumahnya." Si Senah memandang wajah Si Merah yang sedang tersenyum kambing. Akhirnya, Si Senah menyerah kalah dan mengikuti saranan suaminya untuk menerima jemputan keponakannya itu.



Mereka pun berdandan dengan rapi dan keluarlah mereka dari terataq itu dengan bertawakal kepada Allah bagi memelihara terataq itu. Suami isteri itu pun berkunjunglah ke rumah keponakan itu. Mereka berdua dijamu dengan makanan yang sedap lagi lazat. Setelah kenyang dan sudah berlama di terataq keponakan suaminya, mereka pun minta izin beransur.



Tiba-tiba Si Senah teringat. Dengan suaranya yang perlahan dan terketar-ketar berkata, "Ya Allah! Kekanda! Adinda tadi menjerang air dalam periuk. Adinda lupa hendak mematikan dapur itu!" Si Senah hampir menjerit dengan kuat. Dia menggosok dadanya yang semakin berdebar-debar.



"Astagfirrullah al azim!!! Mengapa adinda begitu cuai? Kita baru sahaja berpindah ke terataq itu?" kata Si Merah dengan tenang tetapi tegas.



"Adinda minta maaf! Adinda terlalu letih dan air yang dimasak itu di dalam sebuah periuk yang besar. Harap-harap tidak ada apa yang berlaku." kata Si Senah. Peluh di dahinya mula menitis. Mukanya pucat sekali. Tidak pernah, dia lupa menutup api di dapur. Si Senah tidak habis-habis beristighfar dan berdoa supaya Allah menyelamatkan terataqnya dari kebakaran.



"Sabar! Sabar! Kekanda akan pandu secepat mungkin," ujar Si Merah dengan tenang. Dia tidak mahu memarahi Si Senah. Nanti keadaan akan lebih parah. Si Senah tidak habis-habis mengurut dadanya yang semakin berombak deras. Mukanya pucat. Mulutnya komak kamik membaca ayat-ayat tertentu.



Akhirnya, apabila sampai di halaman rumah, terkocoh-kocohlah Si Merah keluar dari kenderaannya. Dari luar, tiada tanda-tanda kebakaran. Si Senah mengucap syukur di dalam hatinya tetapi dia pun sama masuk ke dalam terataq itu. Alhadulilah! Tiada apa yang terjadi. Berlari anak menuju ke dapur dan api dapur masih menyala manakala air dalam periuk itu mulai mengering. Sekiranya terlambat barang sepuluh minit, maka terbakarlah dapur itu. Tidak dapat dibayangkan meletup-letup.



Si Senah mengurut dadanya tanda lega. Syukur kepada Allah yang mendengar doanya yang tidak putus-putus!